Friday, November 20, 2026
HomeBERITAJawatan Menteri Pengangkutan Kosong, kelulusan Pelancaran ECRL Jadi Persoalan

Jawatan Menteri Pengangkutan Kosong, kelulusan Pelancaran ECRL Jadi Persoalan

KUALA LUMPUR – Kekosongan jawatan Menteri Pengangkutan susulan peletakan jawatan Anthony Loke mencetuskan persoalan mengenai kelulusan yang memerlukan tandatangan menteri berkenaan bagi membolehkan pelancaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada 12 Disember ini.

Perkara itu dibangkitkan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) sama ada kerajaan mempunyai pelan kontingensi bagi memastikan syarat kelulusan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dapat dipenuhi sebelum tarikh pelancaran.

Menjawab perkara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, keperluan tandatangan Menteri Pengangkutan bagi skim baharu berkenaan sememangnya ditetapkan dalam akta terbabit.

“Kita tunggulah apa-apa yang mungkin dalam seminggu ni ada pelantikan Menteri Pengangkutan yang baharu. Jadi itu saja yang saya dapat jawablah.

“Memang betul, ia memerlukan tandatangan Menteri. Itu memang betul. Saya pun sebenarnya semalam pun dah telefon Ketua Setiausaha Kementerian (Pengangkutan) untuk berbincang bagaimana untuk kita nak luncur (ECRL).

“Tetapi mudah-mudahan kepimpinan kerajaan akan melihat perkara ini,” katanya dalam sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Pada 10 November lalu, Loke yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan peletakan jawatannya dalam Kabinet, berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan rumah.

Sebelum ini, media melaporkan Loke sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan kepada Perdana Menteri pada 28 September lalu.

Loke mengumumkan hasrat meletak jawatan itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September lalu, susulan isu pengampunan bersyarat terhadap Najib.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP, akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

ECRL dijadualkan memulakan operasinya pada 12 Disember, sekali gus memendekkan perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu kepada kira-kira empat jam.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Honor Walk’ Iringi Penghormatan Terakhir Buat Muhammad Aidil Di HPUSM

0
KOTA BHARU – Suasana pilu menyelubungi Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, apabila kakitangan hospital memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Muhammad...

CATEGORIES