KUALA LUMPUR – Rapid KL memaklumkan pasukan kejuruteraannya sedang giat berusaha menambah bilangan tren yang dapat beroperasi secepat mungkin bagi meningkatkan semula kekerapan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya.
Menurutnya, jumlah tren yang beroperasi bagi laluan itu yang terhad ketika ini dijangka menyebabkan tempoh menunggu lebih lama selain kesesakan di platform, khususnya pada waktu puncak.
“Beberapa tren akan berpatah balik di lokasi terpilih sebagai langkah sementara untuk membantu melancarkan pergerakan penumpang dan mengurangkan kesesakan di stesen yang lebih sibuk.
“Penumpang dinasihatkan memperuntukkan masa perjalanan tambahan dan mengikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi Rapid KL,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di ruangan komen laman Facebook rasmi Rapid KL mendapati, ramai penumpang meluahkan rasa tidak puas hati berhubung gangguan dan kesesakan luar biasa di beberapa stesen, khususnya di Stesen LRT Jelatek.
Pengguna Facebook, Muhd Syahmi mempersoalkan tindakan menghentikan perkhidmatan tren secara mengejut di stesen berkenaan walaupun mendakwa tiada sebarang kerosakan berlaku.
“Kenapa tren hentikan perkhidmatan di Jelatek? Tiada apa yang berlaku, tidak rosak apa pun, tiba-tiba suruh keluar,” katanya.
Seorang lagi pengguna, CZ BC turut berkongsi detik cemas apabila tren yang dinaikinya melakukan brek kecemasan dalam keadaan sesak selepas melalui Stesen Jelatek.
“Selepas bersesak-sesak di Jelatek, kena pula brek kecemasan di Ampang dalam keadaan penumpang penuh, rasa nak patah tangan pegang pemegang.
“Tolong pihak pengurusan LRT tengok-tengokkan perkhidmatan sekarang,” katanya.





