KUANTAN – Polis menumpaskan dua sindiket pusat panggilan penipuan dalam talian (love scam) yang menyasarkan warga Vietnam selepas menahan 36 warga asing dalam dua serbuan di Kota SAS, di sini, kelmarin.
Dalam operasi bermula jam 4 petang, lima lelaki warga China serta 20 lelaki dan 11 wanita warga Vietnam diberkas bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata serbuan turut merampas 39 unit telefon bimbit, 28 unit komputer, 19 unit papan kekunci, dua unit `router’.
Turut dirampas sebuah kereta Perodua Ativa dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumber – Berita Harian





