MADRID – Angka korban akibat perlanggaran dua tren berkelajuan tinggi di selatan Madrid meningkat lebih dua kali ganda kepada 64 orang, menurut pihak berkuasa wilayah Sepanyol yang memberi amaran bahawa jumlah itu dijangka terus meningkat.
Kejadian itu turut menyebabkan berpuluh-puluh mangsa cedera.
“Kita bercakap mengenai kira-kira 64 orang terkorban, namun angka ini berkemungkinan meningkat lagi,” kata ketua wilayah Castilla-La Mancha di tengah Sepanyol, Emiliano Garcia-Page, kepada media di lokasi kejadian, sekali gus menyemak semula angka korban terdahulu iaitu 31 orang.
Menurut laporan media, kemalangan itu berlaku sejurus sebelum jam 9 pagi (0800 GMT) antara bandar Urda dan Orgaz di wilayah Toledo, tengah Sepanyol.
Sumber daripada agensi rangkaian kereta api ADIF, memberitahu media tempatan bahawa sebuah tren berkelajuan tinggi menghentam bahagian belakang sebuah lagi tren ketika kedua-duanya menuju ke selatan, ke arah Andalusia.
Stesen penyiar RTVE melaporkan bahawa dua gerabak daripada sebuah tren itu terhumban ke bawah tebing.
Punca perlanggaran itu pada awalnya belum dapat dipastikan.
Sebuah daripada tren itu dikendalikan syarikat kereta api milik kerajaan, Renfe, manakala sebuah lagi oleh pengendali swasta, Iryo.
ADIF memaklumkan bahawa perkhidmatan tren antara Madrid dan Andalusia dihentikan bagi kedua-dua arah.
kemalangan hari ini berlaku selepas insiden pertembungan dua kereta api berkelajuan tinggi berhampiran perkampungan Adamuz di selatan Sepanyol pada Januari lalu yang mengorbankan 46 nyawa.
Kedua-dua kemalangan itu berlaku di laluan yang menghubungkan Madrid dengan bandar Seville di selatan Sepanyol.
Laluan berkenaan adalah antara laluan paling sibuk, malah menjadi laluan kereta api berkelajuan tinggi pertama dibuka di Sepanyol pada 1992, bersempena dengan pameran dunia di Seville.
Pada 2013, Sepanyol berdepan kemalangan kereta api paling dahsyat apabila sebuah kereta api tergelincir di selekoh landasan berhampiran bandar Santiago de Compostela, di barat laut negara itu, mengorbankan 80 orang.
Sumber – Berita Harian





