GEORGETOWN – Empat premis perniagaan di daerah Timur Laut, kelmarin, dikenakan tindakan penutupan (seal-off) selepas didapati dikendalikan oleh warga asing.
Tindakan itu menerusi Op Tegas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Dalam kenyataannya, MBPP memaklumkan, premis yang diperiksa adalah di Jalan Tanjung Bungah, Jalan Hassan Abbas di Teluk Bahang, dan Jalan Batu Ferringhi di sini.
“Ketika pemeriksaan, didapati individu warga asing di dalam premis berkenaan.
“Tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya.
Operasi dilaksanakan oleh Jabatan Pelesenan itu membabitkan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan serta Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBPP.
Menurut kenyataan sama, MBPP berkata, selain tindakan penutupan premis, pihaknya turut merampas beberapa barangan berkaitan perniagaan.
“Ia termasuk papan iklan, rak besi dan peralatan lain yang disenarai dalam inventori rampasan operasi.
“Tong ais (penyimpanan ikan), dua bilah pisau dan sebuah papan pemotong turut dirampas ketika pemeriksaan terhadap premis di Jalan Batu Ferringhi, selepas didapati pemiliknya turut menjalankan aktiviti penjualan ikan.” katanya
MBPP berkata, penguatkuasaan yang dilaksana adalah memelihara ketertiban aktiviti perniagaan serta memastikan persekitaran bandar diurus dengan teratur.
Pihak berkuasa tempatan itu juga menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menangani ketidakpatuhan terhadap peraturan pelesenan.
Sumber – Berita Harian





