PUTRAJAYA – Gelaran Datuk tidak pernah menjadi alasan buat penyanyi Datuk Ziana Zain untuk mengubah keperibadian, apatah lagi meninggalkan jati diri yang sudah sebati dengan dirinya.
Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain, 58, menyifatkan anugerah berkenaan sebagai penghargaan bermakna terhadap perjalanan seni yang sudah menjangkau 37 tahun, sekali gus bukan tiket meninggi diri.
“Tiada yang berubah, saya tetap macam dahulu. Cuma mungkin cara orang menyapa atau panggil saya dengan gelaran Datuk. Kita terima dan bersyukur kerana ini adalah penghargaan terhadap kerjaya.
“Bagi saya, gelaran ini ibarat pangkat di sekolah seperti pengawas atau ketua pengawas. Apa yang penting kita perlu menjaga keperibadian dan cara kita membawa diri bersama masyarakat.
“Saya tetap santai, masih pergi ke pasar malam, minum di warung atau restoran mamak. Kalau kita sudah terbiasa, memang tiada rasa kekok,” katanya ketika ditemui pada Majlis Tahlil Allahyarham Tun Hasmah di Yayasan Kepimpinan Perdana, semalam.
Mengulas reaksi positif peminat yang berpendapat pengiktirafan itu sewajarnya diterima sejak dahulu lagi, Ziana percaya setiap rezeki hadir pada waktu yang tepat.
Katanya, dia bersyukur kerana penghormatan berkenaan tiba selepas dia melalui perjalanan panjang dalam industri seni yang membolehkannya melihat pengiktirafan itu dari sudut lebih matang.
“Bagi saya, Allah sudah aturkan masa yang tepat ketika usia saya juga sudah masuk ke angka 50-an.
“Kalau sewaktu umir 40-an mungkin rasa masih terlalu awal, tetapi apabila mencecah usia ini maknanya pengiktirafan ini hadir tepat pada waktunya,” ujarnya.
Pada masa sama, penyanyi lagu Madah Berhelah itu turut berkongsi gelagat anaknya yang masih bersekolah apabila belum memahami maksud sebenar gelaran Datuk.
“Anak-anak semua tiada masalah. Cuma yang masih di sekolah diberitahu cikgunya bahawa saya dapat gelaran Datuk. Dia terus bertanya, apa itu Datuk mama?
“Masa itu terfikir juga bagaimana nak terangkan kepada mereka. Saya jelaskan ini adalah bentuk pengiktirafan kerjaya seni mama.
“Walaupun mereka belum faham sepenuhnya, alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya.
Pada 24 Ogos lalu, ibu empat anak itu menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Hari Jadi Ke-75 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd. Rustam.
Sumber – KOSMO! ONLINE





