Penerbit dan pelakon Datuk A. Aida mengingatkan orang ramai supaya menjaga adab ketika menulis komen dalam media sosial meskipun tidak menyukai seseorang atau sesuatu perkara.
Menerusi perkongsian di Threads, A. Aida atau nama lengkapnya, Zaidah Awang, menegaskan ketidaksetujuan bukan alasan untuk mengetepikan kesopanan ketika memberikan pandangan.
“Tak suka tak apa. Tapi jangan sampai adab hilang hanya kerana jari terlalu laju menaip.
“Ingat, komen kita juga mencerminkan siapa diri kita. Kalau tak mampu memberi kata-kata yang baik, belajar untuk diam,” tulisnya.
Dalam satu lagi status, A. Aida turut menegur sikap terlalu memberikan perhatian kepada kesalahan orang lain sehingga terlupa memperbaiki diri sendiri.
Katanya, setiap individu sepatutnya menilai kekurangan diri sebelum sibuk menghakimi kehidupan orang.
“Kalau hidup sendiri pun belum sempurna, jangan terlalu sibuk mencari kesalahan orang lain.
“Baiki diri dahulu sebelum sibuk menilai kehidupan orang,” kongsinya.
Bagaimanapun, kedua-dua perkongsian tersebut tidak menyebut nama mana-mana individu atau memperincikan isu yang dimaksudkan.
Sumber: Threads





