Wednesday, October 28, 2026
HomeSUKANKylian Mbappe Mohon Maaf Kepada Rakyat China, Terlanjur Kata Ketika Podcast

Kylian Mbappe Mohon Maaf Kepada Rakyat China, Terlanjur Kata Ketika Podcast

PETALING JAYA – Bintang bola sepak Perancis, Kylian Mbappé membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat China kerana terlepas cakap dengan melabel pengasas negara tersebut, Mao Zedong sebagai seorang “diktator” semalam.

Melalui akaun media sosialnya, pemain kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid itu membuat kenyataan permohonan maaf dalam tiga bahasa mengakui kesilapannya selepas video temu bualnya tular dan mencetuskan kemarahan luar biasa dalam kalangan masyarakat China.

“Komen saya tidak wajar dan kini saya memahami bahawa kata-kata itu menyakiti hati ramai orang di China serta masyarakat Cina di seluruh dunia. Saya memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan kata-kata saya,” kata pemain berusia 27 tahun itu menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan dalam tiga bahasa.

Kontroversi tersebut tercetus apabila Mbappé muncul dalam sebuah klip podcast dan diminta mengulas mengenai sebuah meme internet kelakar tentang dirinya.

Meme tersebut memaparkan wajah Mbappé yang disunting pada foto pemimpin komunis berkenaan.

Tanpa menyedari sensitiviti politik, Mbappé secara spontan berkata, “Seseorang — saya rasa dia seorang diktator China.”

Kenyataan itu mengundang padah apabila portal berita kewangan Bloomberg melaporkan beberapa penaja gergasi dari China seperti syarikat minuman Dongpeng Beverages dan pengeluar produk tenusu Mengniu bertindak menamatkan kontrak jutaan ringgit mereka bersama Mbappé serta-merta bagi menjaga sentimen kebangsaan negara itu.

Bukan itu sahaja, stesen penyiaran rasmi China turut dilaporkan menggantung seketika siaran perlawanan La Liga yang membabitkan kelab Real Madrid susulan insiden berkenaan.

Pihak pengurusan La Liga Sepanyol juga terpaksa mengeluarkan kenyataan maaf bagi meredakan ketegangan politik yang menjejaskan reputasi liga di Asia.-KOSMO! ONLINE

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Abaikan Saja Pembenci, Orang Akan Bercakap Sebab Lumrah Artis’

0
KUALA LUMPUR – “Abaikan saja pembenci. Lumrah kita sebagai artis, orang akan bercakap tentang kita, sama ada perkara baik atau buruk.” Demikian pesanan pelakon Sophia...

CATEGORIES