KUALA LUMPUR – Ibu kepada pelakon Memey Suhaiza, Norlela Abdul Rahman, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor, pada pukul 2.49 pagi ini akibat serangan strok.
Berita duka itu dikongsikan sendiri oleh menantunya yang juga pelakon, Norman Hakim, menerusi hantaran di Instagram, hari ini.
“Dengan penuh rasa dukacita, saya ingin memaklumkan bahawa ibu mentua saya yang dikasihi, Allahyarhamah Norlela Abdul Rahman, kembali ke rahmatullah pada 28 Oktober 2026, jam 2.49 pagi di Hospital Kota Tinggi selepas mengalami strok,” katanya.
Dalam hantaran sama, Norman turut memohon orang ramai, ahli keluarga serta sahabat handai yang mengenali Allahyarhamah agar mendoakan kesejahteraan roh ibu mentuanya.
“Kami sekeluarga memohon jasa baik keluarga, sahabat handai dan semua yang mengenali Allahyarhamah agar dapat sama-sama mendoakannya.
“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, melimpahkan rahmat ke atas rohnya, melapangkan serta menerangi alam kuburnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
“Mohon sedekahkan bacaan al-Fatihah buat Allahyarhamah,” katanya.
Norman turut berkongsi beberapa keping gambar Memey berada di sisi jenazah ibunya menerusi hantaran berkenaan.
Sumber – Berita Harian





