Tuesday, October 27, 2026
HomeBERITAMonsun Timur Laut Bermula, Kawasan Barat Semenanjung Berisiko Bencana

Monsun Timur Laut Bermula, Kawasan Barat Semenanjung Berisiko Bencana

KUALA LUMPUR – Kawasan rendah di pantai barat Semenanjung berisiko berdepan bencana susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula hari ini, justeru penduduk diminta sentiasa berwaspada serta mengikuti ramalan dan amaran cuaca semasa.

Felo utama, Pusat Perundingan Strategik Antarabangsa dan Matlamat Pembangunan Mampan (ISN-SDG), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata berdasarkan data sebelum ini, beberapa kawasan mula terjejas akibat hujan lebat termasuk di Yan, Kuala Muda dan Pendang, Kedah selain kawasan rendah di Pulau Pinang serta Penampang, Sabah yang dilanda banjir, semalam dan hari ini.

“Negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, dan Sabah terdedah kepada risiko banjir disebabkan oleh gabungan faktor geografi semula jadi selain kesan cuaca semasa peralihan monsun serta pembukaan MTL dijangka berterusan sehingga Mac 2027.

“Ketika MTL bermula, angin kencang bukan sahaja membawa hujan berterusan tetapi juga menaikkan paras air laut di beberapa kawasan pesisir pantai.

“Apabila hujan lebat turun serentak dengan fenomena air pasang besar, air sungai tidak dapat mengalir keluar ke laut. Aliran air ini akan bertembung, tersangkut dan melimpah semula ke kawasan daratan dan sistem perparitan perumahan.

“Keadaan ini bertambah buruk sekiranya sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT, Dr Chung Jing Xiang, berkata berkata MTL yang melanda negara bermula hari ini, dijangka tidak mendatangkan kesan begitu teruk berbanding kebiasaan susulan negara masih dipengaruhi fenomena El Niño.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak bermaksud orang ramai boleh mengabaikan pemantauan risiko semasa MTL.

“Menjelang MTL, cuaca akan menjadi lebih basah dan sejuk bagi sesetengah kawasan kerana angin timur laut bertiup ke arah negara kita yang asalnya dari benua Asia merentasi Laut China Selatan sekali gus membawakan kelembapan tambahan ke Malaysia.

“Kelembapan tambahan ini akan membentuk awan perolakan di negara kita dan menyebabkan cuaca menjadi lebih mendung dan berawan.

“Sekiranya keadaannya tepat, hujan yang sangat lebat boleh terbentuk dan jika situasi menjadi teruk, ia boleh menyebabkan banjir besar,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kejadian luruan sejuk dengan angin timur laut sangat kuat boleh terjadi dan meningkatkan risiko terjadinya hujan amat lebat sekali gus menyebabkan banjir terutama di Pantai Timur Semenanjung dan Pantai Barat Sabah-Sarawak.

“Selain itu, pembentukan lekukan tekanan rendah yang dikenali sebagai Borneo vortex boleh terbentuk di kawasan perairan pantai barat Sabah-Sarawak.

“Disebabkan lekukan tekanan rendah adalah satu titik penumpuan kelembapan, ia boleh mengakibatkan hujan lebat di kawasan pantai barat Sabah-Sarawak.

“Lazimnya, Borneo vortex ini akan berkekalan selama beberapa hari di perairan Sabah-Sarawak dan kemudiannya ‘hilang’. Namun, jika keadaan mengizinkan, ia boleh bergerak ke arah Semenanjung menyebabkan hujan lebat di kawasan pantai timur.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, kebiasaannya negeri di Pantai Timur Semenanjung seperti Kelantan, Pahang, Johor serta barat Sarawak berisiko terjejas susulan MTL.

“Di pihak kami, bilik gerakan MET mula dibuka hari ni bagi memantau situasi MTL lebih teliti. Pembukaan bilik gerakan itu membabitkan semua pejabat MET negeri di seluruh negara,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia dijangka memasuki fasa MTL 2026/2027 bermula hari ini dan berterusan sehingga Mac 2027.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Lebuh Raya LTU Di Kelantan Dijangka Siap Sepenuhnya 2028

0
KUALA LUMPUR – Projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Kelantan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028, melibatkan jajaran sepanjang 107.41 kilometer dari Kuala...

CATEGORIES