Tuesday, October 27, 2026
HomeHIBURANZarif Ghazzi Pertahan Kudrat 1968, Bukan Sekadar Papar Isu Buli Dan Kekerasan

Zarif Ghazzi Pertahan Kudrat 1968, Bukan Sekadar Papar Isu Buli Dan Kekerasan

KUALA LUMPUR – Bukan sekadar memaparkan aksi kekerasan dan budaya buli, filem Kudrat 1968: High Council turut mengupas sisi gelap hierarki, senioriti dan percaturan kuasa yang berakar dalam masyarakat, kata pelakon Zarif Ghazzi.

Zarif, 22, berkata setiap tindakan dan kekerasan yang dipaparkan dalam naskhah berkenaan mempunyai sebab tersendiri, sekali gus menjadi kunci kepada penceritaan yang melengkapkan keseluruhan francais High Council.

Katanya, filem itu menjadi jawapan kepada pelbagai persoalan yang ditinggalkan dalam empat episod terdahulu, termasuk sebab di sebalik tindakan kejam watak tertentu.

“Perjalanan Kudrat 1968 ini panjang. Episod kelima ini menutup cerita dan menjawab segala persoalan daripada episod pertama hingga keempat.

“Segala persoalan mengapa seseorang bertindak sedemikian dan mengapa dia kejam akan terjawab dalam filem ini.

“Jadi, saya akan cakap perkara ini berkali-kali. Sudah tentu ada yang bertanya mengapa masih ada cerita seperti ini. Apa yang boleh saya katakan, Kudrat 1968 lebih daripada kisah buli.

“Ia mengenai hierarki, senioriti dan politik. Ia lebih daripada itu,” katanya.

Mengulas mesej yang ingin disampaikan menerusi filem itu, Zarif berkata naskhah berkenaan turut mengetengahkan kesan buruk perbuatan buli yang tidak seharusnya diterima sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat.

Katanya, medium filem mampu menyampaikan mesej dengan lebih berkesan apabila penonton bukan sahaja memahami isu berkenaan, malah dapat menghayati penderitaan yang dialami mangsa.

“Mesej mengenai buli ini boleh disampaikan dengan pelbagai cara. Jadi, bagi saya sebagai pelakon, menjadi tanggungjawab untuk menyampaikan mesej mengenai buli dari segi visual supaya semua rakyat Malaysia bukan sahaja mengetahui, tetapi turut merasai betapa teruknya kesan buli itu sendiri,” katanya.

Mengakui membesar dengan menonton filem aksi seperti KL Gangster, Zarif berkata dia tidak terpengaruh dengan elemen kekerasan yang dipaparkan dalam karya berkenaan.

Sebaliknya, dia bersyukur kerana didikan ibu bapanya membentuk keperibadian dan cara dirinya menilai sesuatu perkara.

Katanya, peningkatan kes buli membabitkan kanak-kanak bawah umur turut menimbulkan persoalan mengenai pengaruh persekitaran serta kepentingan pendidikan dan bimbingan sejak kecil.

“Kadang-kadang saya tengok ada juga kes buli membabitkan kanak-kanak bawah umur. Sebab itulah setiap karya yang dihasilkan di Malaysia mempunyai klasifikasi umur seperti 16 tahun ke atas atau 18 tahun ke atas dan ada juga yang 21 tahun ke atas.

“Jadi, saya percaya sikap dan perilaku kanak-kanak di luar itu mencerminkan cara mereka berkomunikasi dengan ibu bapa sendiri.

“Sejujurnya, saya membesar dengan KL Gangster 1, KL Gangster 2 dan KL Gangster 3. Alhamdulillah, saya bersyukur cara ibu bapa membesarkan saya menjadikan saya manusia seperti sekarang,” katanya.

Kudrat 1968: High Council ialah prekuel kepada siri fenomena Projek: High Council (2023) dan filem Kahar: Kapla High Council (2024), yang mengisahkan asal-usul sistem hierarki rahsia dalam kalangan pelajar.

Selain Zarif, filem arahan Zulaikha bersama Khairi Asyraff itu turut dibintangi Mierul Aiman, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes, Akmal Asyraf dan beberapa pelakon lain.

Filem Kudrat 1968: High Council bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 29 Oktober ini.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Tuju Bakal Hantar LOD Kepada Anggota K-Clique

0
PETALING JAYA: Penyanyi rap dan bekas ahli kumpulan K-Clique, Tuju, sedang dalam  proses menghantar surat tuntutan (LOD) susulan isu tunggakan royalti yang didakwa tidak...

CATEGORIES