PUCHONG, 23 Oktober 2026 – Kempen Anti-Buli ‘Berani Tegur, Berani Bertindak’ 2026 anjuran Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya melibatkan lebih 51,000 murid dan 4,000 guru dari 40 buah sekolah rendah dan menengah.
Kempen yang berlangsung dari April hingga Oktober itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang isu buli di sekolah serta menggalakkan murid supaya berani bersuara, menegur dan mengambil tindakan sewajarnya apabila berdepan atau menyaksikan kejadian buli.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah kempen tersebut berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Permai dan disempurnakan oleh Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan dan Pengurusan Sekolah 2, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM, Tuan Haji Azman bin Mahsuri.
Kempen ini dilaksanakan melalui tiga komponen utama, iaitu Jelajah Sekolah, Pertandingan Video Kreatif dan Pertandingan Kesedaran di Media Sosial.
Melalui Jelajah Sekolah, pasukan Gardenia mengadakan program di Zon Tengah, Utara, Selatan dan Pantai Timur. Aktiviti yang dijalankan merangkumi ceramah kesedaran anti-buli, aktiviti interaktif berunsurkan nilai murni serta pemasangan poster dan bahan infografik di kawasan sekolah. Lebih 12,000 produk Gardenia turut diagihkan kepada murid di sekolah yang dilawati.
Bagi Pertandingan Video Kreatif, murid sekolah rendah dan menengah menghasilkan video pendek bertemakan ‘Berani Tegur, Berani Bertindak’. Penilaian dibuat berdasarkan kreativiti, keberkesanan penyampaian mesej, impak kepada penonton dan kualiti keseluruhan video.
Dalam kategori Sekolah Rendah, Sekolah Kebangsaan (SK) Lanchang, Pahang muncul juara dan menerima hadiah wang tunai RM2,000. Naib juara dimenangi SJK(C) Kuang Hwa dengan RM1,500, manakala SK Bukit Wan mendapat tempat ketiga dengan RM1,000.
SK Balok Makmur menduduki tempat keempat dengan hadiah RM500, diikuti SK Kemahang di tempat kelima dengan RM500. Anugerah Video Paling Kreatif pula dimenangi SK(LKTP) Bukit Sagu yang menerima RM500.
Bagi kategori Sekolah Menengah, SMK Tinggi Kajang muncul juara dengan hadiah RM2,000. SMK Puchong Permai meraih naib juara dengan RM1,500, manakala SMK Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad mendapat tempat ketiga dengan RM1,000.
SMK Kemayan menduduki tempat keempat dan SMK Bukit Rangit tempat kelima, masing-masing menerima RM500. SMK Puchong Permai turut memenangi Anugerah Video Paling Kreatif dengan hadiah RM500.
Sementara itu, Pertandingan Kesedaran di Media Sosial menggalakkan warga sekolah menyebarkan mesej anti-buli menggunakan tanda pagar rasmi #BeraniTegurBeraniBertindak dan #GardeniaAntiBuli.
SMK King George V, Seremban muncul pemenang pertandingan tersebut selepas merekodkan jumlah interaksi tertinggi sebanyak 144,089, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.
Majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Puchong melibatkan sekolah-sekolah dari Selangor, manakala satu lagi majlis penyampaian hadiah dijadualkan berlangsung di Pahang.
Melalui kempen ini, Gardenia dan KPM berharap usaha meningkatkan kesedaran tentang buli dapat memupuk nilai murni, tanggungjawab sosial dan keberanian dalam kalangan murid, sekali gus membantu mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat dan harmoni.





