KUALA LUMPUR, 20 OKTOBER 2026 – Selepas berjaya menghimpunkan lebih 70,000 peminat menerusi siri persembahan di Kuala Lumpur, Singapura dan Pulau Pinang sepanjang tahun ini, Ratu Rock Malaysia, Ella, bakal melengkapkan perjalanan penuh bermakna tersebut menerusi konsert kemuncak bertajuk “Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup”, yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil.
Pengumuman rasmi konsert tersebut dibuat hari ini di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, sekali gus menjawab tanda tanya peminat selepas Ella memberikan bayangan mengenai hasratnya untuk mengadakan sebuah lagi konsert sebelum berakhirnya tahun 2026.
Minggu lalu, ketika meraikan penerimaan Anugerah Sri Wirama AIM25, Ella secara terbuka menyuarakan hasratnya kepada En. Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, untuk menjayakan satu lagi persembahan pada Disember ini. Momen spontan tersebut mengundang keterujaan dan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat yang berharap agar perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen diteruskan dengan sebuah persembahan penutup.

Kini, hasrat tersebut akhirnya direalisasikan menerusi Sidang Penutup, yang bakal menjadi konsert penutup rasmi dan kemuncak siri Majlis Tertinggi Rockqueen bagi tahun 2026.
Dianjurkan oleh Hitman Solutions bersama Rockqueen, Sidang Penutup turut menyaksikan Ella akan berkongsi pentas bersama dua penyanyi wanita tersohor tanah air, Yuna dan Datuk Ziana Zain, sekali gus menjanjikan sebuah pertemuan istimewa yang menggabungkan tiga figura wanita daripada latar muzik dan generasi berbeza.
Perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen sepanjang tahun ini bermula dengan kejayaan konsert berskala stadium yang menghimpunkan 55,000 peminat di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, sebelum diteruskan di Singapura dengan kehadiran lebih 5,000 peminat, dan seterusnya di Pulau Pinang yang menyaksikan 10,000 peminat bersama-sama meraikan Ratu Rock Malaysia itu.
Dengan jumlah keseluruhan melebihi 70,000 penonton menerusi tiga persembahan tersebut, Majlis Tertinggi Rockqueen bukan sahaja membuktikan kekuatan dan pengaruh Ella selepas lebih empat dekad dalam industri muzik, malah memperlihatkan bagaimana karya serta legasinya terus menyatukan peminat daripada pelbagai generasi.
Kemuncak Sebuah Perjalanan, Penutup Penuh Makna
Sidang Penutup bukan sekadar satu lagi persembahan dalam kalendar konsert tahun ini, sebaliknya dirancang sebagai sebuah malam penghargaan dan perayaan terhadap perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen secara keseluruhannya.
“Tahun ini memang satu perjalanan yang sangat luar biasa dan penuh makna buat Ella. Daripada peminat di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, kemudian ke Singapura dan Pulau Pinang, Ella sangat bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bertemu dan berkongsi muzik dengan begitu ramai peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan.
“Setiap perjalanan pasti ada penghujungnya dan setiap cerita ada bab terakhirnya. Jadi, Ella mahu Sidang Penutup menjadi satu malam yang benar-benar istimewa untuk kita semua. Ella mahu kita menutup perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen tahun ini dengan penuh kegembiraan, kasih sayang dan kenangan yang akan kita simpan sampai bila-bila. Kalau kita sudah mulakan perjalanan ini bersama, biarlah kita tutup tirainya juga bersama,” ujar Ella.
Yuna dan Datuk Ziana Zain Lengkapkan Malam Kemuncak
Antara tarikan utama Sidang Penutup ialah penampilan istimewa Yuna dan Datuk Ziana Zain, dua nama besar industri muzik Malaysia yang bakal membawa keunikan tersendiri kepada persembahan penutup ini.
Kehadiran Yuna, penyanyi dan penulis lagu Malaysia yang telah membina nama di persada muzik antarabangsa, dijangka memberikan dimensi berbeza kepada Sidang Penutup. Dikenali menerusi identiti muzik kontemporari dan gaya persembahan tersendiri, penyertaan Yuna bakal mempertemukan dua figura muzik wanita Malaysia yang telah mencipta kejayaan luar biasa menerusi perjalanan seni masing-masing.
Gabungan Ella dan Yuna turut mencerminkan bagaimana muzik mampu merentasi genre serta generasi, daripada pengaruh rock yang menjadi identiti Ella kepada sentuhan muzik moden yang sinonim dengan Yuna.
Selaku Pengarah Jenama Rockqueen , Capt Azhar berkata gabungan kedua mereka dipilih untuk bersama dalam Sidang Penutup disebabkan keunikan bakat setiap satu serta keserasian mereka dalam menghargai satu sama lain. Maka, atas faktor tersebut dan perjalanan seni mereka yang penuh warna, para penggemar yang hadir bakal dapat menyaksikan bersama mereka dalam kemeriahan meraikan majlis di Sidang Penutup nanti.

Sementara itu, Datuk Ziana Zain kembali sebagai artis undangan selepas penampilannya terdahulu menerusi Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi Permata Biru di Pulau Pinang.
Setelah berkongsi pentas dan mencipta kenangan bersama peminat di negeri kelahiran Ella itu, kemunculan semula Datuk Ziana dalam Sidang Penutup merupakan peluang istimewa untuk membawa pengalaman tersebut kepada peminat di Kuala Lumpur yang tidak berkesempatan menyaksikan persembahan mereka di Pulau Pinang.
“Audience Choice” – Peminat Turut Menentukan Sidang Penutup
Sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang telah menjadi tunjang kejayaan Majlis Tertinggi Rockqueen, penganjur turut memperkenalkan konsep “Audience Choice”, yang memberikan peluang kepada peminat untuk memainkan peranan dalam membentuk beberapa elemen penting persembahan.
Menerusi inisiatif ini, peminat berpeluang memberikan pilihan terhadap tema persembahan, senarai lagu serta beberapa elemen kejutan yang bakal disajikan pada malam berkenaan.
Pendekatan tersebut menjadikan Sidang Penutup lebih daripada sekadar sebuah konsert biasa. Sebaliknya, ia mengangkat peminat sebagai sebahagian daripada perjalanan kreatif persembahan, selari dengan konsep Majlis Tertinggi Rockqueen yang sejak awal meraikan hubungan istimewa antara Ella dengan para peminatnya.
Menurut Ketua Projek Khas Hitman Solutions, En. Keeran D, kejayaan menghimpunkan lebih 70,000 peminat sepanjang siri Majlis Tertinggi Rockqueen 2026 merupakan satu pencapaian yang cukup bermakna bagi semua pihak yang terlibat.
“Apa yang menjadikan perjalanan ini lebih istimewa ialah peluang untuk membawa mesej Peace.Love.Rindu ke luar pentas persembahan, termasuk menerusi sumbangan kepada organisasi kebajikan. Bagi kami, kejayaan sesebuah konsert bukan hanya diukur melalui jumlah penonton, tetapi juga makna dan impak yang dapat dibawa kepada masyarakat.
“Untuk Sidang Penutup, kami mahu menjadikan peminat sebahagian daripada kemuncak perjalanan ini. Melalui konsep ‘Audience Choice’, mereka berpeluang menentukan beberapa elemen persembahan seperti tema dan senarai lagu. Kami mahu semua yang hadir merasakan bahawa malam ini juga milik mereka, kerana tanpa peminat, perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen tidak mungkin mencapai kejayaan seperti hari ini.
Mengangkat Legasi Ratu Rock Malaysia, Menutup Tahun Dengan Penuh Gemilang
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, En. Rohit Rampal, turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ella atas penerimaan Anugerah Sri Wirama AIM25, sambil menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai penghormatan yang amat layak diterima oleh penyanyi yang telah mencurahkan lebih empat dekad kehidupannya kepada industri muzik Malaysia.

Menurut beliau, kejayaan Majlis Tertinggi Rockqueen sepanjang 2026 membuktikan bahawa Ella masih mempunyai pengaruh luar biasa serta keupayaan untuk terus menarik puluhan ribu peminat menyaksikan persembahannya secara langsung.
“Ella sememangnya satu-satunya Ratu Rock tanah air yang telah mendedikasikan lebih empat dekad kehidupannya kepada muzik tanah air. Penerimaan Anugerah Sri Wirama merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna dan selayaknya diterima oleh beliau atas segala sumbangan serta legasi yang telah dibina selama ini.

“Sejak bekerjasama dengan Ella pada 2023 menerusi Jilid Akhir: Ella Puteri Kota, diikuti Jilid Rockestra: Rockers Juga Manusia dan seterusnya Majlis Tertinggi Rockqueen, kami berpeluang menyaksikan sendiri kerja keras, dedikasi dan semangat luar biasa yang diberikan Ella dalam memastikan setiap persembahannya mempunyai nilai serta pengalaman tersendiri.
Satu Malam, Satu Kenangan Terakhir Untuk Majlis Tertinggi Rockqueen 2026
Tiket Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup akan mula dijual pada 22 Oktober 2026 (Khamis), dengan harga bermula daripada RM179. Peminat boleh mendapatkan tiket secara dalam talian menerusi laman web rasmi www.hitmanlive.com







