KUALA LUMPUR – Harapan melihat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mencipta kejayaan di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2026 tidak kesampaian apabila beliau tersingkir pada suku akhir acara keirin lelaki di Shanghai, China, sebentar tadi.
Kegagalan itu menambah kekecewaan kem negara apabila dua pelumba wanita, Nur Alyssa Mohd Farid dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, turut terkandas dalam acara pecut individu selepas tewas dalam perlumbaan kalah mati.
Azizulhasni yang hadir dengan reputasi sebagai juara keirin Sukan Komanwel dan Sukan Asia gagal mengulangi aksi cemerlang ketika pusingan pertama apabila sekadar menamatkan saringan ketiga suku akhir di tempat terakhir, sekali gus terlepas peluang ke separuh akhir.
Sebelum itu, pelumba berusia 38 tahun berkenaan membuka saingan dengan meyakinkan apabila menduduki tempat kedua dalam saringan pertama, hanya 0.006 saat (s) di belakang pelumba Jepun, Kaiya Ota, untuk mengesahkan kemaraan.
Dalam acara pecut individu wanita, Nur Alyssa pula gagal melepasi pusingan 1/16 akhir selepas tewas kepada wakil Britain, Rhianna Parris-Smith, dengan perbezaan 0.071s.
Nur Alyssa sebelum itu mencatat masa 10.788s dalam kelayakan 200 meter untuk menduduki tempat ke-23, namun gagal meneruskan momentum ketika berdepan lawan dalam perlumbaan kalah mati.
Nasib sama menimpa Nurul Izzah apabila ratu trek negara itu tersingkir selepas tewas kepada pelumba Australia, Molly McGill, dengan perbezaan hanya 0.043s, sekali gus menamatkan cabarannya sebelum pusingan 1/8 akhir.
Sumber – Berita Harian





