Friday, October 16, 2026
HomeHIBURANShuib Tampil Mohon Maaf Secara Terbuka Kepada Jep, Rayu Henti Kecam Keluarga

Shuib Tampil Mohon Maaf Secara Terbuka Kepada Jep, Rayu Henti Kecam Keluarga

KUALA LUMPUR – Selepas hampir seminggu mendiamkan diri, pelawak dan usahawan, Shuib tampil memohon maaf kepada bekas rakan sekumpulan, Jep berhubung kontroversi serta kemelut antara mereka.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 42, menerusi hantaran video di media sosial hari ini, berkata dia menerima kecaman daripada orang ramai sejak hantaran yang dimuat naik oleh Jep pada 8 Oktober lalu.

“Hampir seminggu saya mendiamkan diri tanpa memberikan apa-apa kenyataan tentang apa yang berlaku antara saya dan Jep.

“Dari hari pertama kenyataan Jep dikeluarkan sampailah ke hari ini, saya kira saya lalu satu tempoh yang sangat sukar. Saya diperli, dimaki, dihina dan dikecam.

“Ianya bukan saja berlaku kepada saya, tapi turut melibatkan isteri saya, Watie, anak-anak, keluarga dan juga perniagaan saya,” katanya.

Mengulas lanjut, Shuib memaklumkan dalam tempoh kurang 24 jam selepas kenyataan Jep dimuat naik, dia menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada Jep untuk memohon maaf atas kekhilafannya bersama Mamat yang menyindir pelawak berkenaan dalam sebuah podcast bersama Azlee Senario.

“Saya kira (beranggapan) dia (Jep) telah pun terima WhatsApp tersebut dan mungkin telah membacanya, wallahualam.

“Saya penuh kesal dan memohon maaf kepada dia berulang kali. Saya anggap ini ujian untuk saya dan balasan di atas kekhilafan saya dalam berkata-kata,” luahnya.

Mengulas isu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Shuib bersyukur serta menjelaskan syarikat perniagaannya, Bubblebee sudah membuat bayaran ansuran selama 10 bulan secara berterusan bermula Januari 2026 sehingga kini dan mempunyai baki 14 bulan lagi untuk diselesaikan.

Dalam pada itu, Shuib turut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada orang ramai yang terkesan dengan tindakannya sebelum ini.

“Saya mohon maaf kepada semua yang mungkin marah dan rasa tak patut dengan apa yang saya telah buat di Dol’s Podcast. Saya sedar saya manusia yang tidak sempurna, selalu berbuat salah dan dosa, jadi saya mohon maaf di atas kekhilafan saya.

“Saya halalkan dan maafkan kepada sesiapa sahaja yang mengecam, menghina atau memfitnah saya, isteri, anak-anak, keluarga dan juga perniagaan saya. Saya anggap ini adalah ujian dan balasan di atas kekhilafan yang telah saya lakukan,” katanya lagi.

Dalam hantaran sama, Shuib membuat rayuan agar orang ramai tidak terus mengecam mahupun memboikot perniagaan yang menjadi punca rezeki keluarganya.

“Saya mohon sangat-sangat, berhentilah membuat apa-apa lagi andaian, kecaman, makian ataupun fitnah ke atas saya, isteri, anak-anak, keluarga dan perniagaan saya.

“Sepah Penyet, Bubblebee, Nusara Foods dan Sambal Hitam adalah perniagaan yang sah serta halal. Inilah sumber pendapatan keluarga saya sekarang untuk membayar segala hutang syarikat Bubblebee.

“Janganlah kerana marahkan saya, (maka) isteri, anak-anak dan keluarga saya terlibat. Mereka tidak bersalah, saya yang bersalah dalam perkara ini. Janganlah juga kerana benci kepada saya, perniagaan saya diboikot sedangkan perniagaan saya sah dan halal,” katanya.

Dalam pada itu, Shuib turut mendedikasikan mesej penuh emosi buat Jep agar kemelut antara mereka dapat diselesaikan dengan baik.

“Video ini khas untuk Jep. Jep, kalau kau tengok video ni dok, aku mohon maaf. Kita kenal dekat 20 tahun, hampir separuh daripada hidup aku. Aku takkan boleh menidakkan kenangan yang telah kita bina selama ni dok, selama kita bekerjasama, susah senang yang kita pernah lalu, kejayaan yang pernah kita capai dan ianya akan aku simpan sebagai satu kenangan yang paling indah dalam hidup aku.

“Aku minta maaf di atas kekhilafan dan keegoan aku. Aku halalkan segala-galanya dan aku doakan kau dok. Allah mudahkan segala urusan kau, keluarga, isteri kau Sari Yanti dan anak-anak kau. Semoga Allah akan uruskan segala permasalahan kita dengan baik,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Jep tampil menyuarakan rasa kurang senang terhadap tindakan Shuib yang didakwa masih membangkitkan isu persahabatan mereka menerusi sebuah audiosiar.

Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin mengakui sudah memohon maaf atas perkara yang berlaku sebelum ini, namun meluahkan rasa jemu apabila isu berkenaan terus diperkatakan secara terbuka.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Sayunya Hati’ – Nora Danish Diajak Bermadu

0
PETALING JAYA – Aktres Nora Danish mencuri perhatian apabila berkongsi mesej peribadi (DM) daripada seorang wanita yang menawarkannya menjadi isteri kedua, sekali gus madunya. Terkejut...

CATEGORIES