Friday, October 16, 2026
HomeBERITACalon SPM Khatam 30 Juzuk Al-Quran Dapat Laluan Khas Ke IPG, Matrikulasi

Calon SPM Khatam 30 Juzuk Al-Quran Dapat Laluan Khas Ke IPG, Matrikulasi

BACHOK – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran berpeluang mendapat laluan khas untuk melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) dan program Matrikulasi.

Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia, Omar Salleh berkata, laluan khas ini sudah dibuka tahun 2024 dan sehingga kini 95 peratus pelajar membabitkan 15 sekolah tahfiz dengan empat Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan 11 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) melepasi tamat hafal al-Quran dalam tempoh lima tahun.

“Insentif pertama, mereka semua akan dapat satu sijil yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu sijil Darul Quran, apabila mereka menghafal 30 juzuk, mereka akan dapat dua sijil iaitu sijil SPM dan sijil Darul Quran.

“Untuk memastikan mereka diberi ruang yang sangat baik di masa depan mereka selepas tamat SPM, Kementerian memberikan beberapa laluan khas untuk masuk ke IPG dan Matrikulasi dengan harapan bila mereka masuk, program untuk memperkukuhkan hafalan mereka akan berlaku di IPG , Matrikulasi yang terpilih,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Perdana SMKA Tok Bachok, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengetua SMKA Tok Bachok, Mohd Fadhli Jusoh dan Yang Dipertua Persatuan Ibubapa Guru (PIBG) SMKA Tok Bachok, Datuk Azaha Berahim.

Dalam perkembangan sama, Omar turut memuji SMKA Tok Bachok yang berjaya memecah rekod pelajar teramai khatam al-Quran sejak sekolah ditubuhkan pada 2015 iaitu seramai 171 orang pelajar termasuk 126 adalah calon SPM tahun ini.

Turut membanggakan, buat pertama kali sekolah itu mencapai seratus peratus calon SPM berjaya khatam al-Quran dengan calon menamatkan hafazan antara satu hingga lima bulan.

Pelajar, Muhammad Muzammil Mohd Nasir, 17 mengambil masa selama satu tahun tujuh bulan untuk bergelar hafiz.

Katanya, antara cabaran terbesar adalah soal masa untuk belajar dan menghafaz selain juzuk 29 antara yang dirasakan sukar untuk diingati.

“Cara saya atasi adalah dalam satu mushaf Quran ada 15 baris, jadi saya hafal separuh-separuh dan kemudian baru saya gabungkan untuk mudah dihafal,” katanya.

Wan Nur Farzana Wan Mohamad Rafi, 17 pula mengambil masa tiga bulan untuk menyelesaikan hafalan al-Quran dengan kaedah tasmik bersama rakan-rakan untuk memudahkan khatam.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Kalau Tawaran Tak Jadi Maklum, Tiada Siapa Akan Marah’ – Catriona...

0
PETALING JAYA – Pelakon Catriona Ross menegur sikap segelintir pihak produksi yang didakwa gagal menjaga adab dan profesionalisme ketika berurusan dengan pelakon khususnya berkaitan...

CATEGORIES