Tuesday, September 22, 2026
HomeBERITAEl Nino Diramal Berterusan Hingga Awal Tahun Depan

El Nino Diramal Berterusan Hingga Awal Tahun Depan

FENOMENA El Nino dijangka berterusan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, dan berpotensi mencetuskan perubahan cuaca ekstrem di beberapa kawasan sehingga awal tahun depan.

Situasi itu meningkatkan kebimbangan terhadap kesannya kepada alam sekitar, ekonomi dan kesihatan awam, terutama jika fenomena El Nino berterusan.

Memetik laporan United Nations News, Organisasi Meteorologi Dunia (WMO) memberi amaran bahawa El Nino yang sedang terbentuk kini dijangka mencapai tahap sangat kuat dengan kebarangkalian hampir 100 peratus untuk berterusan sehingga Februari 2027.

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, fenomena El Nino yang sedang berlaku dijangka terus berlanjutan dalam tempoh akan datang.

“El Nino sedang berkembang dengan ketara di hadapan mata dan fakta sains tidak akan meninggalkan keraguan kepada kita.

“Situasi sebegini belum pernah lagi dapat kita lihat dan keadaan semakin lama semakin panas,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Ramalan itu menjadi perhatian sekali gus meningkatkan tahap keyakinan terhadap impak fenomena berkenaan berdasarkan peningkatan suhu yang semakin panas.

El Nino merupakan fenomena iklim semula jadi yang berlaku apabila suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik menjadi lebih panas daripada biasa.

Keadaan itu boleh mengubah corak angin, hujan dan suhu di seluruh dunia, sekali gus menyebabkan sesetengah kawasan mengalami cuaca lebih panas dan kering, manakala kawasan lain berdepan hujan lebat serta risiko banjir.

Apa yang membimbangkan, El Nino kali ini terbentuk ketika suhu lautan global berada pada tahap luar biasa tinggi akibat pemanasan global.

Suhu permukaan laut di Pasifik tengah dan timur kini dilaporkan sekitar 2.2 hingga 2.6 darjah Celsius melebihi purata, manakala beberapa kawasan di bawah permukaan laut mencatatkan suhu lebih lapan darjah Celsius berbanding keadaan normal.

Haba yang tersimpan di lautan menunjukkan masih terdapat tenaga yang boleh menyokong pengukuhan fenomena berkenaan dalam tempoh akan datang.

Gabungan El Nino yang kuat dengan keadaan lautan panas turut menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan kejadian cuaca ekstrem.

Menurut laporan The Conversation, sebahagian besar kawasan Asia Tenggara antaranya Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia termasuk Australia berisiko mengalami keadaan lebih panas serta kering.

Keadaan itu boleh meningkatkan risiko kemarau, kekurangan sumber air, kebakaran hutan dan jerebu, terutama sekira tempoh kering berlanjutan.

Sebaliknya, beberapa kawasan yang lazim lebih kering seperti pesisir Amerika Selatan berpotensi menerima hujan lebih banyak daripada biasa.

Hujan luar biasa boleh meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh, khusus di kawasan mempunyai sistem saliran atau infrastruktur yang tidak mampu menampung jumlah air tinggi.

Keadaan berkenaan boleh memberi tekanan kepada sumber air, sektor pertanian dan tenaga, selain meningkatkan risiko kebakaran hutan serta kemerosotan kualiti udara akibat jerebu.

Sektor kesihatan awam turut terdedah kerana cuaca panas melampau boleh meningkatkan risiko masalah berkaitan haba, khususnya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas dan individu mempunyai masalah kesihatan tertentu.

Dalam masa sama, kemerosotan kualiti udara akibat jerebu boleh memburukkan lagi masalah pernafasan.

Bagaimanapun, El Nino bukan satu-satunya faktor yang menentukan kesan cuaca di global.

Sebaliknya, ia turut dipengaruhi oleh fenomena atmosfera dan lautan lain, termasuk keadaan Dipol Lautan Hindi (IOD) serta suhu permukaan Lautan Atlantik yang berupaya mempengaruhi corak hujan serta suhu di pelbagai rantau.

Sumber – Kosmo! Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Semua Syarikat Penerbangan Iran Henti Operasi Di Seluruh Dunia – AS

0
ISTANBUL – Semua syarikat penerbangan komersial Iran akan menghentikan operasi di seluruh dunia mulai Rabu, kata Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Scott Bessent kelmarin,...

CATEGORIES