KUALA LUMPUR – Usahawan dan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri mencuri perhatian selepas memberi bayangan bakal melancarkan lagu duet bersama penyanyi terkenal, Aina Abdul.
Menerusi perkongsian di Instagram, Aliff memuat naik video yang memperlihatkan mereka sedang menjalani proses rakaman di sebuah studio.
“Nantikan lagu terbaharu saya bersama Aina Abdul,” tulisnya ringkas.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang terhibur dan tertarik dengan gandingan tidak dijangka itu.
Malah, ada yang secara berseloroh menyifatkan mereka sebagai gandingan “dua penyanyi nombor satu Malaysia” serta meramalkan lagu tersebut mampu mencuri perhatian pendengar.
“Meledak AJL41 nanti,” seloroh seorang netizen.
“Sedap pula lagu ini, pandai Datuk buat lagu,” komen seorang lagi pengguna Instagram.
Tidak kurang juga yang mengusik Aliff mengenai kemampuan vokalnya serta meminta Aina membimbing usahawan tersebut ketika merakamkan lagu berkenaan.
Aina turut meninggalkan komen secara berseloroh dengan mengakui keliru ketika menyanyikan lirik lagu itu, sekali gus mencuit hati netizen.
Walaupun menerima reaksi bercampur-campur, rata-rata pengguna media sosial kelihatan tidak sabar menantikan hasil penuh kolaborasi berkenaan.
Bagaimanapun, tajuk lagu dan tarikh pelancarannya masih belum diumumkan secara rasmi oleh kedua-dua penyanyi tersebut.





