KUALA LUMPUR – Ketika sedang berusaha mendapatkan cahaya mata, pelakon dan penyanyi Janna Nick baru menyedari bahawa dirinya tidak pernah diundang ke majilis sambutan bayi atau pengumuman jantina anak yang dianjurkan rakan-rakannya.
Ketika sedang berusaha mendapatkan cahaya mata, pelakon dan penyanyi Janna Nick baru menyedari bahawa dirinya tidak pernah diundang ke majlis sambutan bayi atau pengumuman jantina anak yang dianjurkan rakan-rakannya.
Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 31, percaya, kemungkinan rakan-rakannya berbuat demikian kerana mahu menjaga hatinya sepanjang melalui proses mendapatkan zuriat.
Menerusi perkongsian di Threads, Janna berkata, dia mula menyedari perkara itu selepas mendapati rakan-rakannya tetap mengundangnya ke pelbagai acara lain termasuk rumah terbuka, tetapi tidak ke majlis berkaitan kehamilan atau bayi.
“Baru saya sedar, kawan-kawan tidak pernah jemput saya ke majlis sambutan bayi atau pengumuman jantina.
“Acara lain, rumah terbuka atau apa-apa majlis, mereka jemput saja. Jadi, saya tertanya-tanya, adakah mereka takut saya sedih?” katanya.
Bagaimanapun, Janna menegaskan, dia sama sekali tidak berasa sedih melihat kebahagiaan individu lain yang dikurniakan cahaya mata.
“Sumpah, saya tidak sedih langsung.
“Sebagai seseorang yang sedang melalui proses TTC (mencuba untuk hamil), saya benar-benar gembira apabila melihat orang lain mengandung, mendapat bayi atau mengumumkan kehamilan,” katanya.
Menurut Janna, perjalanan mendapatkan zuriat sememangnya boleh membuatkan seseorang sesekali berasa sedih dengan keadaan diri sendiri.
Namun, katanya, perasaan itu tidak bermakna individu yang sedang melalui proses TTC tidak mampu meraikan kebahagiaan orang lain.
“Mungkin ada masanya kita rasa sedih dengan perjalanan sendiri, ya. Tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh meraikan kebahagiaan orang lain,” katanya.
Janna dan Dini Schatzmann mendirikan rumah tangga pada Jun 2023.
Sejak berkahwin, Janna terbuka berkongsi perjalanan dan usaha mereka untuk mendapatkan cahaya mata.
Sumber – Berita Harian





