HULU LANGAT – Selepas disahkan mengalami masalah jantung sehingga hilang punca pendapatan, pelawak veteran Abon, 66, kini berdepan kesukaran kewangan dan mempertimbangkan untuk memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Lebih menyedihkan, Abon atau nama sebenarnya, Sharizan Ahmad, mengakui mengalami kemurungan dan tidak bercakap dengan orang sekeliling selama hampir dua minggu selepas disahkan menghidap masalah jantung pada Jun lalu.
Katanya, dia berasa sangat tertekan apabila tiba-tiba diuji dengan masalah kesihatan kronik sedangkan sebelum ini jarang mengalami masalah kesihatan.
“Saya sedang menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang. Saya akui down sebab saya bukan perokok dan tidak suka berfoya-foya.
“Selama ini hendak demam pun susah, sampaikan apabila tengok orang lain mengambil cuti sakit (MC), saya jadi cemburu.
“Tetapi apabila secara tiba-tiba diduga dengan penyakit kronik seperti ini, saya rasa macam sempitnya dunia,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.
Pertemuan itu diadakan sempena Program Ziarah Seni Madani anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Turut hadir Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi dan Timbalan Presiden SENIMAN, Rina Tan.
Pada kunjungan berkenaan, Zed yang juga Biro Bahagian Kebajikan FINAS menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung Abon.
Abon berkata, doktor turut menasihatinya supaya tidak bekerja sekurang-kurangnya lima bulan selepas menjalani prosedur memasukkan stent bagi mengelakkan tekanan yang boleh menjejaskan keadaan jantungnya.
“Saya memang kena sesuaikan diri dengan keadaan sekarang. Doktor tidak menyarankan saya bekerja selama lima bulan kerana saya baru menjalani prosedur memasukkan stent.
“Dia tidak mahu saya mengalami tekanan jika bekerja kerana ia boleh menjejaskan semula keadaan jantung,” katanya.
Menurut Abon, larangan bekerja itu menyebabkan sebahagian rutin hidupnya berubah apabila terpaksa menghabiskan kebanyakan masa di rumah.
“Sekarang ini memang saya tidak keluar dan hanya habiskan masa duduk di rumah. Tengok ikan, ayam dan kucing, itu saja.
“Kadang-kadang saya terfikir, berapa lama hendak hidup macam ini?” katanya.
Dalam pada itu, Abon berkata, dia sedang mempertimbangkan untuk memohon bantuan JKM selepas simpanannya habis digunakan bagi menampung kos rawatan serta perubatan.
Katanya, dia tidak berasa malu untuk memohon bantuan selepas lebih 30 tahun mencari rezeki dalam bidang seni tanpa pernah meminta bantuan daripada mana-mana pihak.
“Kalau boleh saya tidak mahu meminta-minta. Selama lebih 30 tahun dalam bidang seni, saya tidak pernah meminta.
“Saya tahu orang akan pertikaikan sebab saya ada rumah dan kereta, tetapi itu masa kita senang. Sekarang saya sudah tidak berapa mampu kerana tidak boleh bekerja.
“Kereta sekarang pun anak yang bayarkan tetapi masyarakat luar tidak tahu. Duit yang ada sekarang sudah habis. Sebab itu saya tidak malu hendak meminta bantuan daripada JKM,” katanya.
Bagaimanapun, Abon mengakui masih berbelah bahagi untuk membuat permohonan kerana bimbang tidak layak menerima bantuan atau mengambil hak individu lain yang lebih memerlukan.
“Saya tidak pasti sama ada saya layak atau tidak untuk mendapatkan bantuan JKM. Itu yang membuatkan hati saya berbelah bahagi untuk memohon,” katanya.
Terdahulu, Abon selamat menjalani prosedur angioplasti di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, Selasa lalu.
Sumber – Berita Harian





