Friday, September 4, 2026
HomeBERITACalon PALAPES Aktif Dikecualikan Empat Ujian

Calon PALAPES Aktif Dikecualikan Empat Ujian

ARAU: Calon Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang masih aktif tidak perlu menduduki ujian tertentu dalam proses pemilihan menyertai Angkatan Tetap melalui latihan Pegawai Kadet Graduan, mulai tahun ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pengecualian itu selaras dengan Perintah Majlis Angkatan Tentera Siri 9/2025.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berucap pada Program Syarahan Eksekutif bersama Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam di Universiti Malaysia Perlis .

Katanya, ia membabitkan Ujian Pengetahuan Am, Ujian Kecerdasan Akal, Ujian Kepimpinan dan Merancang serta Ujian Pengucapan Awam.

“Mulai tahun 2026 ini, calon PALAPES yang masih aktif akan diberikan pengecualian daripada menduduki beberapa ujian tertentu semasa proses pemilihan.

“Pengecualian ini selaras dengan Perintah Majlis Angkatan Tentera Siri 9/2025 dan melibatkan empat ujian berkenaan,” katanya ketika menyampaikan Ucaptama pada sesi Syarahan Eksekutif bersama Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kementerian turut menjalankan kajian bagi menambah baik bayaran insentif kepada pegawai kadet PALAPES, termasuk elaun kehadiran latihan tempatan, bounti tahunan dan pemberian pakar.

Katanya, pegawai lepasan PALAPES juga boleh memohon Pertugasan Sepenuh Masa bagi mengisi perjawatan tertentu di unit, kapal, pangkalan dan formasi ATM.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman (kiri) menyerahkan nota kerjasama antara Tentera Darat dan Kementerian Pendidikan Tinggi kepada Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kepten (Kehormat) Datuk Professor Dr. Azlinda Azman (kanan) sambil disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Program Syarahan Eksekutif bersama Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam di Universiti Malaysia Perlis .

“Sekiranya mereka kemudiannya diserap ke dalam Angkatan Tetap, tempoh perkhidmatan dan pangkat semasa akan diambil kira mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, kementerian turut mencadangkan pindaan perundangan bagi membolehkan pegawai lepasan PALAPES yang sudah tamat tempoh perkhidmatan tetapi masih berminat kembali berkhidmat dalam Angkatan Sukarela, tidak perlu ditauliahkan semula.

Katanya, cadangan pindaan itu kini menunggu kelulusan.

“Sekiranya diluluskan, pegawai berkenaan hanya perlu melalui proses melanjutkan tempoh tauliah selaras dengan Akta Angkatan Tentera 1972,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, ATM turut meneliti cadangan memberi peluang kepada Pegawai Kadet PALAPES menjalani latihan industri di unit dan pasukan Angkatan Tetap bagi memberi pendedahan kepada persekitaran tugas sebenar ATM.

Katanya, laluan pembangunan kerjaya dalam Angkatan Sukarela juga sedang diperkemas melalui penyesuaian tempoh kursus dan pembangunan Professional Military Education yang selari dengan Angkatan Masa Hadapan.

“Usaha ini akan memberikan lebih banyak peluang kepada pegawai sukarela untuk meningkatkan kemahiran, kelayakan serta bagi kenaikan pangkat.

“Selain itu, Sistem Officer Voluntary Enrollment and Reporting Workspace Across Three Command Hubs atau OVERWATCH telah dibangunkan bagi membolehkan penempatan, status perkhidmatan dan penglibatan pegawai muda lepasan PALAPES dipantau dengan lebih teratur selepas ditauliahkan,” katanya.

Menurutnya, sistem itu turut membolehkan pegawai muda sukarela lepasan PALAPES universiti awam merancang penempatan dan melapor diri ke unit Angkatan Sukarela berhampiran tempat tinggal, tempat kerja atau tempat mereka melanjutkan pengajian.

“Insya-Allah kita akan mula menggunakan sistem ini bagi pengambilan pentauliahan tahun 2026,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Bekas COO Tabung Haji Masuk Hospital , Pendakwaan Kes SPRM Ditangguh

0
SHAH ALAM - Bekas Ketua Pegawai Operasi ( COO) Lembaga Tabung Haji ( TH) yang dijadualkan menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen hari ini tidak dapat...

CATEGORIES