PETALING JAYA – Tular cek hantaran bernilai RM10 juta mencetuskan tanda tanya mengenai status perkahwinan Datuk A. Aida, namun anaknya, Azeva memilih untuk menyerahkan perkara itu kepada ibunya untuk dijelaskan sendiri.
Azeva atau nama sebenarnya Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin, berkata, dia tidak menghalang andai ibunya mahu mendirikan rumah tangga, namun sebagai anak, dia perlu memastikan lelaki berkenaan mampu menjaga serta tidak mengambil kesempatan.
“Bagi saya kalau ada hantaran RM10 juta untuk mama, saya okey sahaja, cuma kena tanya dia sendiri untuk mengesahkan mengenai spekulasi yang diperkatakan baru-baru ini.
“Tapi jika minta pendapat berkenaan calon (suami) mama, saya kena kaji dulu lelaki itu. Asalkan dia mampu jaga mama, tak menyusahkan dan tak jadi biawak hidup, saya okey.
“Jangan tiba-tiba nak kahwin, kemudian lelaki itu tak mahu bekerja dan hanya nak bergantung kepada mama. Memang tak lah,” katanya.
Menurut Azeva juga pelakon serta pengacara itu, dia mengetahui kata laluan telefon ibunya malah kadangkala turut menyemak peranti tersebut sekiranya terdetik naluri bahawa ada sesuatu yang mencurigakan.
“Saya memang pantau serta semak telefon mama. Dia pun tahu saya suka tengok selain maklum saya ingat semua kata laluan, bukan masalah pun kepadanya.
“Jadi kalau tiba-tiba tergerak hati, saya akan semak mesej mama. Mahu berjaga-jaga. Lepas itu saya akan tanya, ‘Siapa ni, mama? Apa ni?’” katanya sambil ketawa.
Menurut Azeva, tindakan itu bukan kerana mahu mengongkong insan tersayang sebaliknya dia bimbang A. Aida tersalah memilih pasangan selepas beberapa lelaki sebelum ini didakwa cuba mendekati ibunya atas faktor kestabilan ekonomi.
“Banyak kali lelaki dekati mama macam itu. Dia nak ekonomi yang stabil punya pasal. Sebab itu saya kena tegas sedikit dengan mama,” ujarnya.
Begitupun, pemilik syarikat Hello Production itu pada masa sama mengakui tidak ingin melihat ibunya terus kesunyian selepas bertahun-tahun menjalani kehidupan sendirian.
“Saya tahu mama sunyi. Sudah lama dia bangun tidur seorang, hidup seorang dan makan seorang. Kalau dia nak kahwin, saya gembira sangat,” katanya.
Azeva merupakan zuriat hasil perkahwinan A. Aida dengan bekas suaminya, Ameng Spring dan mereka memiliki seorang lagi anak, Wan Az Aleesa, manakala dengan bekas suami kedua, produser terbabit dikurniakan seorang putera, Muhammad Fuad.
Sementara itu, menerusi perkembangan lain, anak kedua daripada tiga bersaudara itu bakal tampil dengan filem sulung terbitan syarikatnya sendiri berjudul Bisikan Nafsu bermula 1 Oktober ini.
Naskhah terbitan A. Aida Production serta Mache Allstar United itu turut membariskan Aniq Suhair dan Azeva selaku teraju utama, selain Zul Huzaimy, Aleza Shadan, Watie Sadali, Raja Azmi, Ezzaty Abdullah serta Aishah Husna.
Sumber – KOSMO! ONLINE





