Friday, August 28, 2026
HomeHIBURANSiapa Cakap Saya Takda Duit? - Fazley Jawab Tuduhan Dekati Vida Kerana...

Siapa Cakap Saya Takda Duit? – Fazley Jawab Tuduhan Dekati Vida Kerana Mahu Harta

KUALA LUMPUR – Cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob tampil menepis dakwaan kononnya mendekati usahawan terkenal, Datuk Seri Vida kerana tertarik dengan kekayaan dimiliki wanita itu.

Fazley yang juga bapa kepada empat anak menjelaskan tidak ada sebab untuk dia mengejar harta milik orang lain kerana keluarga sendiri dikurnia kehidupan yang boleh dikatakan mencukupi.

“Kalau orang tengok latar belakang keluarga saya, Alhamdulillah, semuanya cukup daripada segi kewangan.

“Jadi, penyatuan kami ini adalah penyatuan dua keluarga dan dua empayar perniagaan… Insya-Allah. Doakan yang baik-baik sahaja,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran digital dan sidang media Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 di Balai Berita di sini, malam tadi.

Fazley mengakui pada awalnya, dia bimbang kemesraan yang ditonjolkan bersama Vida akan menuai pelbagai reaksi negatif daripada rakan artis termasuk kenalannya.

Bagaimanapun, Fazley berkata, dia akhirnya dapat menarik nafas lega apabila majoriti teman memberi sokongan, malah, mendoakan hubungan mereka terus berkekalan.

“Saya sebenarnya was-was dengan rakan-rakan artis, kawan-kawan dan pelajar saya akan cakap negatif. Namun, 99 peratus puji, beri galakan dan mendoakan. Sampaikan mereka berharap kami tidak putus hubungan.

“Tiga hari kami tak buat siaran langsung di TikTok, ramai yang hantar mesej peribadi (DM) untuk tanya sama kami bergaduh atau sebagainya. Mereka mahu saya jaga Vida. Jadi, sebenarnya lebih kepada saya yang risau kalau tak dapat jaga dia dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Vida berkata, dia tidak terlepas daripada berdepan kata-kata negatif netizen termasuk kenalan terdekat yang dianggap sengaja mahu meretakkan hubungannya bersama Fazley.

Vida bagaimanapun berkata, dia memilih untuk mengecilkan lingkungan sosial dan hanya bertemu dengan individu tertentu.

“Ramai sebenarnya yang tidak suka, tetapi saya sudah kecilkan lingkungan dan hanya jumpa orang-orang tertentu.

“Saya bukan tidak mahu jumpa dengan yang lain, tetapi, Alhamdulillah dijauhkan untuk seketika ini,” katanya.

Pada masa sama, Vida mendakwa, dia mendengar khabar angin apabila ada pihak tertentu mendakwa Fazley mendekatinya hanya kerana mahu membolot harta miliknya.

Namun, Vida enggan mengulas panjang mengenai dakwaan itu kerana enggan memberi publisiti percuma kepada individu terbabit.

“Saya tak mahu ulas perkara ini dengan lebih lanjut, nanti, bagi promosi percuma sahaja. Antara kata-kata mereka, dia (Fazley) pilih saya sebab mahukan harta. Lebih kurang begitulah.

“Jadi, saya jadikan perkara itu sebagai cabaran untuk membuktikan tohmahan itu tidak benar,” katanya.

Sebelum ini, hubungan antara Vida dan Fazley mencuri perhatian ramai apabila sering memperlihatkan kemesraan terutama di media sosial.

Pasangan itu yang sebelum ini saling berbalas panggilan sayang dilihat sedang dalam fasa percintaan serius. Peminat memberi restu andai mereka mahu meneruskan perhubungan ke fasa serius dengan mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, ada pihak mendakwa Fazley hanya mengejar kemewahan yang dimiliki Vida.

Dalam perkembangan lain, Fazley dan Vida mencuri perhatian apabila tersenarai dalam Top 10 kategori Selebriti Couple Goals Terhangat pada AMT 2026.

Mereka berdepan saingan pasangan popular lain seperti Syamel dan Ernie Zakri; Fattah Amin dan Amira Othman; serta Syafiq Kyle dan Mimi Lana.

Senarai penuh kategori dan calon AMT 2026 diumumkan menerusi pelancaran digital ‘Malam Start Menekan!’ yang disiarkan secara langsung di TikTok Melodi Terhangat dan TV3, malam tadi.

Pengumuman itu membuka tirai perjalanan AMT 2026 sebelum kuasa memilih diserahkan sepenuhnya kepada peminat menerusi undian digital yang dibuka selama enam minggu, bermula 3 September hingga 8 Oktober ini melalui platform Tonton.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Hatrik Kylian Mbappe Bantu Madrid Belasah Sociedad

0
MADRID - Dalam aksi La Liga, Kylian Mbappe tampil dengan persembahan memukau apabila meledak hatrik untuk membantu Real Madrid membelasah Real Sociedad 4-1, sekali...

CATEGORIES