ALOR GAJAH – Kementerian Pertahanan (Mindef) menyalurkan dana sebanyak RM312,200 pada Program Jiwa Murni MADANI (PJM) Daerah Alor Gajah bagi memperkasa komuniti setempat menerusi pelbagai inisiatif kemasyarakatan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, program berkenaan menjadi platform memperkukuh hubungan awam-tentera, selain membolehkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyumbang kepakaran teknikal anggota khususnya dalam bidang kejuruteraan bagi pembangunan serta pembaikan infrastruktur komuniti.
Ujar beliau, pelaksanaan PJM itu sekali gus membuktikan peranan ATM bukan sahaja tertumpu kepada aspek pertahanan negara, malah turut melibatkan usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
“Program Jiwa Murni MADANI ini adalah untuk kita rapatkan kerjasama antara Kementerian Pertahanan, khususnya ATM dengan masyarakat.
“Pada masa sama, kita manfaatkan kepakaran anggota pertahanan kita dalam bidang kejuruteraan bagi melaksanakan projek pembangunan serta pembaikan infrastruktur yang memberi manfaat terus kepada komuniti,” katanya ketika hadir merasmikan PJM Daerah Alor Gajah di Padang Awam Kampung Gadek, di sini, hari ini.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan menerima sambutan menggalakkan apabila lebih 1,200 pengunjung hadir sepanjang program itu berlangsung.
Katanya, menerusi pelaksanaan PJM di kawasan Parlimen Alor Gajah, hampir 500 anggota masyarakat akan menerima manfaat secara langsung, manakala secara keseluruhan dianggarkan 2,000 hingga 3,000 penduduk mendapat manfaat daripada projek yang dilaksanakan.
“Kalau kita lihat daripada projek-projek komuniti yang kita buat itu, hampir 500 anggota masyarakat akan mendapat manfaat.
“Namun secara keseluruhannya dianggarkan sekitar 2,000 hingga 3,000 penduduk akan menerima manfaat daripada projek yang dilaksanakan,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, bagi memastikan keperluan komuniti terus diberi perhatian, sebanyak lima projek bernilai RM179,200 dilaksanakan oleh 9 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (9 Skn RAJD), Tentera Darat Malaysia (TDM).
Projek berkenaan membabitkan kerja baik pulih taman permainan Dewan Serbaguna Kampung Baru, Pondok Batang; pagar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Durian Tunggal; gelanggang futsal Taman Seri Kelemak, Rembia; bumbung Madrasah Seri Kemuning, Kampung Kemuning serta Surau Madrasah Khairiah, Kampung Paya Datuk Hilir.
Selain projek pembangunan fizikal, PJM turut menyediakan pelbagai pengisian kepada masyarakat termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, pameran kerjaya dan kesukarelawanan, keusahawanan, Jualan Rahmah, pertandingan sukan serta kaunter bergerak perkhidmatan kerajaan.
Pada program itu, Adly turut menyampaikan cek cura Inisiatif Pusat Khidmat berjumlah RM133,000 kepada lapan penerima manfaat bagi menyokong pembangunan dan keperluan komuniti setempat.
Antara penerima terbabit ialah lembaga surau, persatuan rumah berhala serta SJKT Batang Melaka bagi pembangunan GreenLab sekolah.

Selain itu, sebanyak 500 Bakul Rahmah turut disampaikan kepada persatuan veteran ATM dan penduduk setempat sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat.
Terdahulu, Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) turut menganjurkan Program Ilmu dan Muafakat MADANI (PIKAT) pada 14 Ogos lalu di Masjid Kelemak, Alor Gajah.
Program tersebut diisi dengan solat maghrib dan isyak berjemaah, ceramah perdana, sumbangan kebajikan serta sesi menyantuni warga dan kariah masjid.
Penganjuran PJM dan Pikat secara berterusan membuktikan pendekatan menyeluruh Mindef dalam memperkukuh keterhubungan ATM bersama masyarakat menerusi elemen kesejahteraan, kerohanian dan penglibatan komuniti.
Usaha berkenaan turut selari dengan konsep kerjasama awam dan tentera (CIMIC) di bawah Teras 4 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dalam mempererat hubungan antara ATM dan rakyat.





