Thursday, July 16, 2026
HomeBERITAPelan Strategik Dan Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Perpaduan Negara 2026-2030 Dilancar, Garis...

Pelan Strategik Dan Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Perpaduan Negara 2026-2030 Dilancar, Garis langkah Strategik Pembinaan Negara Bangsa

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah melancarkan dua pelan strategik iaitu Pelan Strategik KPN 2026-2030 dan Pelan Strategik Pendigitalan KPN 2026-2030 yang akan menjadi dokumen rujukan utama dalam menetapkan hala tuju stategik Kementerian bagi tempoh lima tahun akan datang. Majlis pelancaran pelan ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara sempena Majlis Perhimpunan Bulanan KPN, hari ini.

Pelan Strategik KPN 2026-2030 merangkumi 5 teras, 12 strategi dan 33 inisiatif yang digubal berlandaskan aspirasi untuk memperkasakan nilai kebangsaan, memperkukuh tapak integrasi sosial serta melestarikan khazanah warisan sebagai tunjang pembinaan negara bangsa. Lima teras strategik utama tersebut adalah Patriotisme dan Demokrasi, Pembinaan Negara Bangsa, Ekosistem Perpaduan, Transformasi Digital Perpaduan dan Tadbir Utus Organisasi dan Komunikasi.

Pelan ini telah disusun selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, dan mandat Kementerian di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) iaitu pembinaan negara bangsa sebagai asas kepada pembentukan perpaduan negara yang mampan.

Sebagai pembaharuan, pelan ini menggariskan pendekatan pemantauan yang lebih komprehensif melalui penggunaan Rubrik Penilaian Impak Polisi (PIP) sebagai instrumen utama untuk memantau pelaksanaan Pelan Operasi, di samping mengukur keberkesanan dan tahap pencapaian setiap teras, strategi serta inisiatif secara sistematik, objektif dan berasaskan impak.

Pelan Strategik Pendigitalan 2026-2030 pula merangkumi 7 strategi, 21 program dan 55 subprogram bagi menyokong agenda transformasi digital. Pelan ini berteraskan tiga fokus utama iaitu Pemerkasaan Ekosistem Penyampaian Perkhidmatan Digital Bersepadu, Pengukuhan Infrastruktur Digital Berasaskan Teknologi Terkini dan Selamat dan Pengukuhan Tadbir Urus Digital serta Pemerkasaan Keupayaan ICT.

Sementara itu, YB Datuk Aaron Ago Dagang dalam ucapannya turut menyentuh mengenai peranan Jabatan Muzium Malaysia dalam memperkasakan muzium seperti memanfaatkan Geran Padanan Muzium dengan memperluas kerjasama strategik antara institusi permuziuman dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan korporat.

Selain itu, Jabatan Muzium Malaysia turut disaran agar mewujudkan Pangkalan Data Nasional Koleksi Artifak Kebangsaan yang menghimpunkan maklumat koleksi daripada muzium di seluruh negara sebagai satu daripada usaha untuk menjadikan ekosistem permuzium yang lebih sistematik dan berdaya saing.

Jabatan Muzium Malaysia turut diingatkan agar mempergiat pelaksanaan Kempen Derma Koleksi bagi mengalakkan masyarakat menyumbang artifak, dokumen, gambar, manuskrip dan bahan bersejarah yang mempunyai nilai warisan untuk dipelihara. Sehingga kini, jumlah keseluruhan koleksi di bawah Jabatan Muzium Malaysia mencecah 437,242 koleksi.

YB Menteri turut menyeru agar Jabatan Muzium Malaysia memperkukuh strategi promosi dan komunikasi dengan pendekatan yang lebih mesra generasi muda, serta menampilkan kandungan yang segar dan kreatif selain meneruskan transformasi digital seperti pembangunan imersif di Muzium Negara dan pembangunan Pameran Digital Muzium Arkeologi Lembah Bujang. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Piala Dunia 2026: Kontroversi! Jurulatih Pasukan Nombor Dua Dunia Salahkan Pengadil...

0
Buat kali pertama dalam tiga edisi, Perancis tidak berjaya mara ke perlawanan akhir selepas tewas 0-2 di tangan juara Euro 2024, Sepanyol, awal pagi...

CATEGORIES