Platform media sosial yang gagal mematuhi keperluan pengesahan umur pengguna di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempunyai kuasa mengeluarkan notis ketidakpatuhan terhadap mana-mana pemberi perkhidmatan aplikasi yang gagal memenuhi kewajipan ditetapkan di bawah akta berkenaan.
Menurut beliau, pemberi perkhidmatan berlesen yang menerima notis tersebut perlu membayar penalti kewangan yang dikenakan atau mengemukakan representasi kepada MCMC untuk semakan semula.
“Bagi ketidakpatuhan kepada Bahagian III Akta 866, pemberi perkhidmatan berlesen boleh dikenakan penalti kewangan tidak melebihi RM10 juta seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta 866,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) berhubung langkah memastikan syarikat media sosial mematuhi keperluan pengesahan umur pengguna serta tindakan yang boleh diambil sekiranya berlaku pelanggaran peraturan.
Fahmi berkata, MCMC turut mempunyai kuasa mengeluarkan arahan bertulis kepada penyedia perkhidmatan berlesen bagi memastikan pematuhan terhadap mana-mana peruntukan di bawah akta tersebut.
Katanya, kegagalan mematuhi arahan yang dikeluarkan merupakan satu kesalahan yang boleh membawa denda sehingga RM1 juta jika disabitkan di mahkamah.
“Selain itu, denda tambahan sehingga RM100,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan turut boleh dikenakan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerajaan telah mengadakan lebih 30 sesi libat urus dengan syarikat media sosial sejak Januari lalu menerusi pelaksanaan regulatory sandbox bagi membincangkan mekanisme pengesahan umur pengguna.
“Setiap platform mempunyai cabarannya sendiri dan objektif perniagaan yang berbeza, namun keperluan pengesahan umur ini selaras dengan amalan yang turut dilaksanakan di lebih 25 negara di seluruh dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE





