Tuesday, June 16, 2026
HomeHIBURANPiala Dunia 2026: Penjaga Gol Veteran, Vozinha Jadi Wira Cape Verde, Kekang...

Piala Dunia 2026: Penjaga Gol Veteran, Vozinha Jadi Wira Cape Verde, Kekang Sepanyol Tanpa Bolos

ATLANTA, AMERIKA SYARIKAT: Penjaga gol Cape Verde, Vozinha tidak dapat menahan sebak selepas tamat perlawanan apabila pasukannya mengikat Sepanyol 0-0 pada Isnin, susulan aksi cemerlang yang menyaksikan beliau menafikan kemenangan juara Eropah itu dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia.

Penjaga gol berusia 40 tahun itu dikerumuni rakan sepasukan sejurus wisel penamat selepas mempamerkan persembahan luar biasa di bawah palang gol.

Jurulatih Cape Verde, Bubista berkata, pemain berpengalaman itu dibanjiri emosi selepas sekian lama berjuang untuk berada di pentas tertinggi bola sepak dunia.

“Dia dilimpahi emosi. Dia seorang pemain yang sangat berpengalaman dan telah melalui banyak cabaran sepanjang kariernya untuk berada di tahap ini. Ia juga tangisan ketabahan,” katanya.

Empat tahun lalu, Sepanyol memulakan kempen Piala Dunia di Qatar dengan kemenangan besar 7-0 ke atas Costa Rica dan apabila undian edisi kali ini mempertemukan mereka dengan negara yang membuat penampilan sulung, keputusan seumpama itu dijangka berulang.

Namun, jangkaan tersebut meleset.

Vozinha yang beraksi bersama kelab Chaves dalam divisyen kedua Portugal berdepan peningkatan tahap saingan yang tinggi, namun rekod pertahanan Cape Verde dalam kempen kelayakan sebelum ini sudah memberi bayangan bahawa mereka bukan lawan mudah.

Sepanjang kelayakan, Vozinha beraksi dalam semua perlawanan dengan hanya melepaskan lapan gol dalam 10 aksi.

Empat daripadanya berlaku dalam satu perlawanan menentang Cameroon, manakala selebihnya menyaksikan beliau mencatat tujuh perlawanan tanpa bolos termasuk semua aksi di laman sendiri.

Dalam aksi di Atlanta, Cape Verde banyak diasak di kawasan sendiri, namun setiap kali barisan serangan Sepanyol berjaya menembusi pertahanan, Vozinha tampil sebagai benteng terakhir.

Sepanyol hampir memecah kebuntuan sebelum waktu rehat apabila rembatan Ferran Torres terkena palang, namun percubaan susulan Mikel Oyarzabal berjaya ditepis keluar oleh Vozinha pada saat genting.

Penjaga gol itu turut menafikan beberapa lagi cubaan termasuk sepakan Torres dan tandukan Aymeric Laporte, sekali gus memastikan keputusan tanpa jaringan kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, Sepanyol terus menekan, namun Vozinha bijak mengawal hantaran lintang dan sepakan penjuru.

Penyokong Cape Verde kemudian cemas apabila beliau terjatuh akibat pertembungan dengan Rodri sebelum rehat minuman, namun kembali meneruskan permainan.

Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente terpaksa melakukan pertukaran bagi mencari jaringan kemenangan.

Pemain muda sensasi, Lamine Yamal dimasukkan selepas pulih daripada kecederaan dan berjaya menambah kepantasan permainan, namun usaha itu tetap gagal menembusi gawang lawan.

Yamal kemudian bergandingan dengan Marcos Llorente untuk mencipta peluang kepada Mikel Merino, namun percubaannya tidak cukup berbahaya untuk menguji Vozinha.

Sepanyol masih boleh bersandar pada sejarah apabila mereka pernah bangkit selepas tewas dalam aksi pembukaan untuk muncul juara Piala Dunia 2010.

Namun, rekod juga mengingatkan bahawa kemenangan besar sebelum ini tidak menjanjikan apa-apa apabila mereka tetap tersingkir awal.

Cape Verde pula meraikan keputusan seri itu seolah-olah memenangi trofi.

Sebagai negara ketiga terkecil dari segi populasi yang layak ke Piala Dunia, pasukan itu mendapat sokongan padu penyokong mereka di Stadium Atlanta, yang berdiri memberikan penghormatan pada wisel penamat, dengan sorakan paling kuat ditujukan kepada Vozinha.

Sumber – Agensi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Cik B Berjuang Lawan ‘Benda’, Tak Tahu Datang Dari Mana –...

0
SHAH ALAM – Usahawan sensasi Datuk Seri Vida mendedahkan anaknya, Cik B beberapa kali mengalami gangguan mistik sepanjang bertanding di pentas Talk To My...

CATEGORIES