KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menerima lebih 476,000 pendaftaran murid bagi kemasukan Tahun Satu Sesi Akademik 2027 setakat Jun lalu, termasuk lebih 73,000 permohonan melibatkan kanak-kanak berusia lima tahun.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah itu menunjukkan sambutan positif ibu bapa terhadap proses pendaftaran yang dibuka kepada kanak-kanak berusia enam tahun serta golongan lima tahun yang memenuhi syarat ditetapkan.
“Setakat ini, lebih 73,000 permohonan diterima bagi kohort kanak-kanak berusia lima tahun, manakala bagi kohort enam tahun, jumlah pendaftaran melebihi 403,000 murid. Jumlah itu menjadikan jumlah murid Tahun Satu Sesi Akademik 2027 seramai 476,000 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) 2026 di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memaklumkan di Dewan Negara pada 3 Mac lalu bahawa permohonan kemasukan Tahun Satu bagi kanak-kanak berusia enam tahun menerima sambutan menggalakkan apabila mencatatkan 351,789 permohonan bagi sesi 2027.
Jumlah tersebut turut merangkumi 51,457 kanak-kanak berusia lima tahun yang didaftarkan menerusi permohonan berkenaan.
KPM sebelum ini memaklumkan pendaftaran Tahun Satu bagi Sesi Akademik 2027 dibuka kepada kanak-kanak yang lahir antara 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021 bagi kohort enam tahun.
Pada masa sama, kementerian turut memberi peluang kepada kanak-kanak berusia lima tahun yang memenuhi syarat tertentu untuk memohon kemasukan lebih awal ke Tahun Satu.
Sumber – KOSMO! ONLINE





