PERAK: 23 Diselamatkan, 14 Masih Hilang Selepas Bot Migran Tenggelam Berhampiran Pulau Pangkor
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan selepas sebuah bot yang dipercayai membawa pendatang tanpa izin warga Indonesia tenggelam di perairan Pulau Pangkor, awal semalam.
Pengarah Maritim Perak, Kapten Mohamad Shukri Khotob, berkata pihak berkuasa menerima laporan pada jam 5.30 pagi daripada seorang nelayan tempatan yang menemui beberapa mangsa terapung di laut sebelum segera memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bertindak pantas mengaktifkan operasi SAR pada jam 6 pagi dengan menggerakkan KM Gagah dan Benteng 1203 ke lokasi kejadian.
Beliau berkata operasi itu turut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM), polis serta nelayan tempatan.
“Sebuah bot nelayan tempatan berjaya menyelamatkan 23 mangsa terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita, semuanya warga Indonesia.
“Mereka kemudian diiringi anggota PPM ke jeti Polis Marin Kampung Acheh bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Shukri berkata siasatan awal mendapati seramai 37 individu dipercayai berada di atas bot berkenaan ketika ia tenggelam.
“Setakat ini, 23 mangsa berjaya diselamatkan manakala usaha mengesan baki individu masih diteruskan,” katanya.
Beliau berkata pasukan penyelamat turut menemui tiga beg mengandungi pakaian yang dipercayai milik mangsa di kawasan pencarian.
“Semua mangsa yang diselamatkan telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung.
“Siasatan awal mendapati kumpulan itu dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei dan menuju ke beberapa destinasi di Malaysia termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau menambah operasi SAR melibatkan pelbagai aset termasuk kapal TLDM KD Sri Indera Sakti, helikopter TLDM Fennec, dua bot tempur laju TLDM, pesawat APMM Bombardier CL-415 serta bot peronda PPM bagi pemantauan udara dan operasi pencarian di kawasan berkenaan.
“Setakat ini tiada penemuan baharu dilaporkan. APMM kekal komited menjalankan operasi mencari dan menyelamat bersama agensi berkaitan bagi memastikan semua mangsa yang dipercayai terbabit dapat ditemukan,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai khususnya komuniti maritim supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan mangsa hilang atau objek mencurigakan yang dilihat di laut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Perak di talian 05-683 8737 atau talian kecemasan 999.
Sumber – Kosmo! Online





