KUALA LUMPUR, 10 MEI 2026 — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyempurnakan Majlis Ramah Mesra YAB Perdana Menteri Bersama Mahasiswa India Malaysia yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.
Program tersebut turut menyaksikan perasmian serta penyampaian Bantuan Peranti baharu yang memanfaatkan 3,000 mahasiswa India di seluruh negara. Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan akses pendidikan digital yang inklusif, adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyerahan cek cura Bantuan Kemasukan IPT Tahun 2025 kepada 4,165 pelajar daripada pusat bertauliah, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM8.347 juta.
Sementara itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang diterajui oleh Menteri Sumber Manusia YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, serta Ketua Pengarah MITRA, En. Raveendran Nair atas pelaksanaan pelbagai program pembangunan sosioekonomi untuk masyarakat India di negara ini.
Menurut Perdana Menteri, segala inisiatif yang dilaksanakan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh pembangunan pendidikan, kemahiran, keusahawanan dan kebajikan sosial demi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat secara menyeluruh.
Beliau turut menegaskan bahawa bantuan yang disalurkan bukan sekadar sokongan kewangan, sebaliknya merupakan pelaburan strategik negara bagi memastikan tiada anak muda tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian, di samping membuka akses pendidikan tinggi yang lebih adil serta peluang kejayaan dalam dunia yang semakin kompetitif.





