PETALING JAYA – Sebanyak 11 kapal yang menyertai pelayaran Global Sumud Flotilla 2.0 dilaporkan terputus komunikasi dan gagal dikesan ketika ini selepas dikepung oleh bot tentera Israel ketika berada di perairan antarabangsa.
Menerusi satu rakaman yang dikongsikan di Instagram Sumudnusantaraofficial, kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 2 pagi tadi (waktu tempatan).
Penganjur, Global Sumud Flotilla dalam kenyataan berkata, tindakan rejim Zionis itu turut disertai ancaman keganasan dan penculikan terhadap peserta misi.
“Misi kami kini dikepung oleh bot tentera Israel secara tidak sah di perairan antarabangsa, dengan ancaman penculikan dan keganasan,” menurut kenyataan itu.
Tambah GSF, memetik media Israel mendakwa tujuh kapal misi telah dipintas berhampiran pulau Crete, Greece.
Dalam masa sama, GSF menggesa masyarakat antarabangsa segera bertindak bagi melindungi flotila berkenaan serta memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas dakwaan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
“Kerajaan-kerajaan perlu bertindak sekarang untuk melindungi flotila, memastikan akauntabiliti terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa dan situasi berterusan di Gaza,” tegasnya.
Sumbe– KOSMO! ONLINE





