KUALA LUMPUR – Rumah tangga dengan suami, Adam Azriff dikatakan sekali lagi dilanda badai, penyanyi Kaka Azraff enggan mendedahkan status terkininya.
Menurut Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 37, dia tidak mahu terlalu bercerita tentang hal peribadi buat masa ini, namun pasti akan berterus terang tentang status rumah tangganya satu hari nanti.
“Perkara ini terlalu peribadi untuk saya. Saya tak boleh nak dedahkan status saya ketika ini. Tetapi bila semuanya sudah pasti nanti, saya akan kongsikan dengan media kerana kalian yang berada bersama saya sewaktu saya nak melangkah naik di dalam industri ini.
“Tak mungkin saya akan abaikan kalian,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Suria FM, di sini, semalam.
Sejak kebelakangan ini, penyanyi yang juga anak saudara ratu rock, Ella Aminuddin itu dilihat sering berkongsi status berbaur seakan-akan luahan hati dalam Threads.
Antara yang dikongsikan adalah tentang berhadapan dengan individu yang memiliki sifat narsistik.
Ditanya sama ada status tersebut ada kaitan dengan apa yang sedang dilaluinya, kata Kaka dia sekadar berkongsi masalah yang dialami orang sekelilingnya.
“Kawan-kawan saudara mara saya ramai yang sudah berkahwin dan beranak-pinak. Setiap daripada mereka ada kisah tersendiri.
“Saya pun baru sahaja lancarkan album baharu. Apa yang saya kongsikan dalam Threads sebenarnya ada kena-mengena dengan lagu-lagu di dalam album saya.
“Jadi saya ingin menjadi suara kepada mereka yang melalui pelbagai dugaan dalam hidup. Saya nak bagi mereka kekuatan untuk menempuh dugaan. Doakanlah yang baik-baik untuk kami semua,” jelasnya.
Untuk rekod, Kaka berkahwin dengan usahawan, Adam Azriff pada Disember 2018 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata lelaki iaitu Aslan, 7, Aryan, 4, dan Atta, 10 bulan.
Sumber – KOSMO! ONLINE





