KUALA LUMPUR: Pelakon, Sahronizam Noor, menjalani pembedahan membuang tumor di bahagian kanan belakang badannya di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
Menurut Sahronizam, beberapa ujian yang dijalankan sebelum ini masih belum memberikan keputusan muktamad berhubung tahap sebenar tumor berkenaan.
“Doktor masih belum dapat kepastian walaupun saya sudah melalui beberapa ujian seperti pengimejan resonan magnetik (MRI), imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan biopsi.
“Hari ini, doktor buat pembedahan besar untuk mengeluarkan tumor tersebut. Ia akan dihantar ke makmal bagi mengenal pasti sama ada ia hanya tumor biasa atau bersifat kanser.
Selepas keputusan diperoleh, barulah doktor akan menentukan rawatan susulan,” katanya kepada BH Online, semalam.
Setakat ini, pelakon filem Tombiruo: Penunggu Rimba itu belum berkongsi perkembangan lanjut mengenai pembedahan yang dijalankan hari ini.
Sebelum ini, Sahronizam mengakui menghidap tumor pada bahagian kanan belakang badannya sejak beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, beliau belum menerima pengesahan rasmi daripada pihak hospital sama ada tumor itu bersifat benign (bukan kanser) atau malignan (kanser).
Menerusi perkongsian terdahulu, isterinya yang juga penyanyi dan pelakon, Safura Yaacob, ada memuat naik hantaran di Instagram memaklumkan mengenai keadaan suaminya yang perlu melalui beberapa siri pemeriksaan kesihatan.
Walaupun berdepan dengan ujian kesihatan, Sahronizam tetap aktif bekerja dan memenuhi komitmen seni seperti biasa.
Sumber – Berita Harian





