KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa yang ditahan tentera Israel dibebaskan dengan kadar segera.
Anwar berkata, misi tersebut adalah usaha kemanusiaan yang digerakkan oleh orang awam tanpa senjata, membawa bantuan amat diperlukan rakyat Gaza.
“Saya menerima maklumat daripada pasukan aktivis dan sukarelawan Malaysia selepas rejim Zionis Israel memintas konvoi Global Sumud Flotilla (GSF).
“Saya menggesa agar semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan dengan kadar segera. Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar menegaskan, tindakan Israel menghalang misi itu bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel.
“Flotila tersebut bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia. Ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan zalim,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan Malaysia akan mengambil segala langkah sah di sisi undang-undang untuk menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila warganegara Malaysia terlibat.
“Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli.
“Selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh dan tidak akan berundur daripada terus mendesak dan menuntut agar kezaliman dan perampasan yang telah berlarutan sejak sekian lama dihentikan,” katanya.
Setakat ini, menurut sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), 12 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, ditahan tentera Israel selepas rejim Zionis itu memintas kapal berkenaan.
Sumber – Kosmo! Online