Friday, July 24, 2026
HomeSUKANCabaran Tunku Mahkota Ismail Buat Harimau Malaya Mengamuk

Cabaran Tunku Mahkota Ismail Buat Harimau Malaya Mengamuk

KUALA LUMPUR: Aura kata-kata semangat daripada Tunku Mahkota Ismail menjadi antara faktor kejayaan skuad Harimau Malaya membelasah Vietnam 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Pasukan kebangsaan menerusi laman Facebook rasminya, Malaysia NT berkongsi video di dalam bilik persalinan yang menunjukkan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu melontarkan kata-kata semangat kepada barisan pemain sebelum aksi kedua Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027.

Menerusi video berdurasi satu minit 26 saat itu, Tunku Mahkota Ismail menjelaskan kepada pemain perjuangan skuad negara adalah misi mengangkat martabat bola sepak tanah air ke tahap yang lebih tinggi.

“Ia umpama revolusi, kita cuba membawa bola sepak Malaysia ke tahap lebih baik. Sekarang, apa sahaja yang kita rancang, apa sahaja yang kita bina, tiada maknanya jika tiada keputusan atau pencapaian.

“Ingat, ada beberapa pihak yang tak percaya. Tidak mengapa, kita sedang melakukan sesuatu yang baru. Biarkan saja, apa yang anda lakukan adalah lebih penting daripada apa yang mereka fikirkan.

“Sudah tiba masanya untuk kita tunjukkan siapa diri kita yang sebenar. Jika kita ubah bola sepak dalam tanah air, ia semua kerana anda, bukan orang lain, anda pahlawannya.

“Kita mahu mereka percaya dan salah satu cara mereka boleh percaya adalah apabila kita tunjuk perwatakan, semangat perjuangan, ini rumah kita,” kata Tunku Mahkota Ismail, pemangku Sultan Johor.

Pada aksi itu, pemain warisan baharu, Joao Figueiredo yang juga pemain terbaik perlawanan meledak gol pembukaan pada minit ke-49 sebelum Rodrigo Holgado, La’Vere Corbin Ong dan Dion Cools menambah tiga lagi gol selepas itu.

Kemenangan ke atas Vietnam meletakkan Harimau Malaya di kedudukan teratas Kumpulan F dengan mengumpul enam mata, tiga mata di depan Vietnam dan Laos, manakala Nepal di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Kemenangan itu turut menyaksikan Harimau Malaya berjaya menamatkan badi 11 tahun tidak menang ke atas Vietnam.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Itu Adalah Yang Pertama Dan Terakhir Saya Bawakan Bila Kau Tiada’

0
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Syamel, 32, mengakui tidak mudah untuk dia membawakan lagu Bila Kau Tiada yang dihasilkan olehnya sekitar empat tahun lalu. Menurut Syamel atau...

CATEGORIES