BARCELONA: Lamine Yamal dilaporkan sedia mewarisi jersi Lionel Messi bernombor 10 di Barcelona selepas menandatangani kontrak baharu di kelab Catalan itu pada musim panas ini.
Walaupun baru berusia 17 tahun, Yamal muncul calon utama memenangi Ballon d’Or musim ini selepas memenangi Euro bersama Sepanyol tahun lalu, dan dianggap antara bakat besar sejak Messi mewarnai dunia bola sepak 20 tahun lalu.
Kedua-dua pemain itu dilihat mempunyai bakat setanding legenda bola sepak Argentina dan Barcelona itu, dan Yamal kini sedia mengikut jejak Messi.
Yamal akan meraikan hari jadi ke-18nya bulan depan dengan menandatangani kontrak jangka panjang bersama Barcelona yang turut memuatkan klausa pelepasan bernilai 1 bilion euro (RM4.83 bilion).
Perjanjian itu turut menyaksikan Yamal akan diberikan jersi No 10 yang ketika ini menjadi milik Ansu Fati.
Masa depan Fati di Barcelona masih menjadi tanda tanya, dan dia mungkin terpaksa menyerahkan jersi itu kepada Yamal yang ketika ini menyarung jersi nombor 19.
Ia bakal menjadi babak bersejarah baharu dalam karier Yamal, selepas dia membuat penampilan sulungnya bersama Barelona dua tahun lalu ketika berusia 15 tahun.
Sepanjang tempoh itu, dia memenangi LaLiga sebanyak dua kali, membantu Barca ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim ini sebelum tersingkir di tangan Inter Milan.
Messi menyarung jersi berkenaan selama 13 tahun, memenangi Ballon d’Or sebanyak tujuh kali, dan menambah koleksinya pada tahun 2023 selepas memenangi Piala Dunia bersama Argentina pada tahun sebelumnya.
Ikon bola sepak Argentina itu menamatkan kariernya bersama Barca pada tahun 2021 dengan meledak 672 gol dalam 778 penampilan, termasuk 10 gelaran LaLiga dan empat Liga Juara-Juara Eropah.
Sumber – AGENSI





