KUALA LUMPUR: Lapan notis kompaun dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada kontraktor yang melakukan kerja pengorekan jalan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di sekitar ibu kota, baru-baru ini.
DBKL berkata, Operasi Bersepadu Korekan Jalan Awam itu dilakukan bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di sekitar Cheras, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai, Segambut dan Bukit Bintang.
Katanya, pemantauan dan siasatan di enam lokasi berbeza membabitkan enam syarikat kontraktor yang sedang menjalankan kerja pembaikan.

“Ia untuk semakan kelulusan permit, prosedur kerja dan lain-lain bagi memastikan keselamatan pekerja, kelancaran lalu lintas pengguna jalan raya dan orang awam sentiasa terjaga.
“Susulan itu, DBKL mengeluarkan lapan notis kompaun melalui peruntukan undang-undang mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Ia membabitkan kesalahan seperti tidak meletakkan lampu blinker jalan, tiada pengawal lalu lintas jalan, membuat halangan jalan awam, melonggokkan sisa pengorekan jalan dan menyebabkan kekotoran jalan air berlumpur di tempat awam,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebook rasmi DBKL, hari ini.
DBKL berkata, CIDB turut mengeluarkan dua notis terhadap syarikat kontraktor yang tidak mematuhi notis kemuka maklumat untuk mendapat kelulusan bagi menjalankan kerja pembinaan di tapak.
“DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan dikenal pasti,” katanya.
Sumber – Berita Harian





