Selepas tujuh tahun tanpa sebarang lagu atau konsert, kemunculan semula kumpulan KRU sememangnya dinanti ramai. Gabungan adik-beradik Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim bukan sekadar konsert biasa, tapi satu pertemuan nostalgia yang membawa peminat kembali ke era kegemilangan mereka. Masakan tidak, sebaik pengumuman trio adik-beradik mahu mengadakan konsert, peminat sudah menggila. Tiket dua malam pertama habis dalam masa kurang sejam, memaksa penganjur tambah malam ketiga pada 10 Mei di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Konsert GenKRU malam pertama berlangsung Sabtu lalu dengan ribuan peminat memenuhi Axiata Arena seawal jam 6 petang. Ramai tampil bergaya dengan jersi dan seluar baggy, gaya ikonik zaman 90-an, tanda betapa kuatnya kenangan mereka bersama KRU.
BEREVOLUSI dengan zaman, KRU contoh anak seni genius bukan hanya untuk karier mereka bahkan banyak memberi impak terhadap dunia muzik tanah air.
Konsert bermula pukul 9 malam dengan lagu pembukaan “Fanatik” yang terus membangkitkan semangat penonton. Dalam tempoh dua jam setengah, KRU menghidupkan semula memori 33 tahun perjalanan mereka dalam muzik tempatan. Dari album Canggih (1992) ke Krumena (2013), mereka kekal dengan identiti yang seiring zaman tanpa hilang jati diri.
“Sebenarnya kami sendiri tidak sangka akan kembali mengadakan konsert dan bersatu seperti hari ini. Kali terakhir adalah Konsert Gergasi KRU di Istana Budaya pada 2018 sebelum kami bubar atau berehat panjang.
“Saya menetap di England, manakala Norman dan Yusry di sini, jadi memang sukarlah untuk kami bersatu.
“Tetapi sudah rezeki kami kembali dengan sebuah konsert berskala besar. Tidak sangka peminat daripada zaman album Canggih (1992) masih ada menyokong kami sampai hari ini,” kata Edry membuka bicara.
BERBELAS tahun tanpa lagu atau konsert selepas bubar, KRU yang kembali reunion membuktikan muzik mereka tidak pernah mati sebaliknya hidup segar di jiwa khalayak.
Pentas malam itu bukan sekadar tentang KRU, tetapi juga dipenuhi kejutan. Adam AF muncul ketika lagu “Terhangat Di Pasaran”, diikuti kumpulan Elite bersama anggota asal mereka mendendangkan lagu duet popular “Di Pintu Syurga”. Suasana tambah gamat bila montaj Datuk AC Mizal ditayangkan, melantik Yusry sebagai rapper malam itu, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.
KUMPULAN Elite, satu daripada produk paling berjaya yang dilahirkan KRU turut dibawa ke pentas menghangatkan keterujaan penonton.
Segmen tribute kepada Allahyarham Datuk Sudirman Arshad menerusi lagu “Perpisahan Terasing” turut menyentuh hati penonton. Walaupun sudah berusia, Norman, Yusry dan Edry masih lincah dan penuh tenaga, membuktikan pengalaman dan semangat mereka masih utuh.
Antara momen paling istimewa, KRU turun ke tengah-tengah arena ketika lagu “Dekat Padamu”, memberi peluang peminat lebih dekat dengan mereka. Menariknya, mereka turut melancarkan album ke-15 berjudul Kaset seminggu sebelum konsert, menambah nilai nostalgia buat peminat.
Lagu-lagu seperti “The Way We Jam”, “Untukmu”, “Fanatik”, “Bidadari”, “Jangan Lafazkan” dan “Awas” kekal menjadi pilihan ramai. Lebih dari 150 lagu yang mereka hasilkan sejak dulu membuktikan KRU bukan sekadar kumpulan muzik, tetapi ikon dalam dunia hiburan tempatan.
SAMA ada Generasi X, Y atau Z, KRU dengan yakin mengisytiharkan semua penonton yang hadir menyaksikan konsertnya sebagai ‘genKRU’ golongan yang tetap muda bersemangat tak kira usia.
Konsert GenKRU bukan saja tentang muzik, tapi juga tentang merapatkan kembali kenangan manis peminat dari pelbagai generasi. Bagi KRU, semua yang hadir layak digelar “genKRU”, jiwa yang kekal muda walaupun angka usia makin bertambah. Dengan lagu-lagu yang tak lapuk dek zaman dan aura yang masih kuat, KRU terus kekal relevan dan dekat di hati peminat.





