KUALA LUMPUR – Filem Keluang Man yang bakal ditayangkan pada 29 Mei ini menjadi detik penting buat pelakon utamanya, Nas. Watak adiwira tempatan yang cukup ikonik ini bukan sahaja membuka peluang besar dalam kariernya, malah menjadi cabaran baru untuk membuktikan kemampuan membawa watak adiwira tempatan yang cukup dekat di hati ramai.
Nas, atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar bin Nasruddin, 42, mengakui dia berdebar menantikan maklum balas penonton memandangkan ini kali pertama dia memegang watak utama dalam sebuah filem.
“Menuju ke hari tayangan sebenarnya saya gemuruh sebab ini kali pertama saya menjadi watak utama dalam filem.”
Sebelum ini, Nas sudah beraksi dalam beberapa filem, namun kebiasaannya digandingkan bersama pelakon lain. Kali ini, dia perlu memimpin jalan cerita sebagai tonggak utama, sesuatu yang cukup mencabar tapi juga memberi pengalaman baru buatnya.
Dalam majlis pelancaran treler rasmi filem Keluang Man di Aurum Theatre, The Exchange TRX baru-baru ini, Nas berkongsi harapan agar usaha keras dirinya dan pasukan produksi dapat diterima baik penonton.
“Saya berharap rakyat Malaysia dapat terima lakonan saya sebagai Keluang Man. Saya juga mengharapkan dapat memberi yang terbaik, sekali gus berkongsi filem ini kepada penonton.”
Dia juga menaruh impian agar filem ini berpeluang ditayangkan di negara jiran supaya karya tempatan dapat diperkenalkan lebih meluas.
Selain Nas, filem arahan Anwari Ashraf ini turut membariskan pelakon berpengalaman seperti Datuk Rosyam Nor, Datuk Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, Shweta Sekhon dan beberapa nama lain. Bagi Nas, peluang bergandingan dengan mereka ibarat satu impian yang jadi kenyataan.
“Mereka adalah pelakon senior yang saya sendiri pernah ada impian untuk digandingkan bersama, Alhamdulillah saya dapat rezeki ini.”
Sepanjang penggambaran, katanya, mereka bukan saja memberi tunjuk ajar malah menerima dirinya seperti adik sendiri, membuatkan proses berlakon berjalan lancar dan menyeronokkan.
Minggu lalu, treler rasmi filem Keluang Man sudah dilancarkan di semua platform media sosial bersama poster rasmi serta pengumuman kempen promosi berskala besar. Filem ini dijangka bukan saja menghidupkan nostalgia adiwira tempatan, tetapi juga memperkenalkan watak ini kepada generasi baru.
Dengan gabungan jalan cerita segar dan sentuhan moden, Keluang Man bukan sekadar filem adiwira biasa. Ia dijangka mampu mencetus fenomena tersendiri di pawagam tempatan dan membuktikan karya tempatan juga berpotensi mencuri perhatian di pentas yang lebih besar.





