Friday, June 5, 2026
HomeHIBURANSel Kanser Kembali Aktif, Elyana Elak ‘Oversharing’ Soal Kesihatan

Sel Kanser Kembali Aktif, Elyana Elak ‘Oversharing’ Soal Kesihatan

SHAH ALAM -Jarang berkongsi keadaan kesihatan dalam media sosial, penyanyi Elyana mengakui mudah terasa dengan kata-kata netizen sehingga membuat keputusan tidak lagi memuat naik hal peribadi secara berlebihan sebagai mana sering dilakukan sejak mula disahkan menghidap kanser limfoma sejak 2010.

Elyana atau Erneelya Elyana Emrizal, 39, berkata, pendekatan sebegitu dibuat bagi memastikan emosinya tidak ikut terkesan dengan komen-komen negatif netizen, terutama ketika kondisi kesihatan tidak memuaskan.

“Terasa hati memang ada, tipu kalau kata tiada tetapi saya sedar dahulu saya terlebih berkongsi.

“Ada orang akan ambil positif dan juga ada yang ambil negatif. Bila tengah sakit, saya tidak boleh mengendalikan komen buruk.

“Jadi sekarang, lebih baik saya kongsi apa yang patut sahaja,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Elyana memaklumkan kesihatannya dalam keadaan baik dan sudah menerima takdir yang harus dijalani demi membesarkan dua puterinya.

“Setakat ini kesihatan saya pun tiada masalah, boleh menyanyi lagi. Bila sakit, emosi kadang-kadang ada naik dan turun, saya kena belajar kawal lagi perasaan tersebut.

“Saya sakit dah sangat lama dan sekarang saya sudah berdamai dengan keadaan, ini ujian hidup saya. Jangan fikir sakit, nanti semua benda tak jadi.

Dalam perkembangan lain, selepas disahkan bebas kanser limfoma pada Disember 2021, penyanyi Tapak Sulaiman itu mendedahkan sel penyakit barah berkenaan kembali aktif disebabkan tidak meneruskan rawatan kimoterapi seperti saranan doktor.

Kata Elyana, kali terakhir menjalani kimoterapi adalah sekitar tiga tahun lalu sebelum mengambil keputusan berehat daripada meneruskan rawatan selama dua tahun.

“Masa kimoterapi terakhir saya, kira-kira tiga tahun lalu, doktor beri tahu sel kanser sudah tiada tetapi dia sarankan untuk sambung buat kimoterapi.

“Namun saya jenis tak dengar cakap, ingat nak berehat dan tarik nafas dahulu sebab dah terlalu kerap dan lama buat kimoterapi.

“Dua tahun kemudian, saya pergi buat kimoterapi balik. Apabila buat pemeriksaan, doktor nampak sel hidup balik. Nasib baik saya cepat buat kimoterapi,” katanya semasa majlis perasmian Festival Ramadan Selangor 2025 di SACC Mall, Shah Alam, semalam.

Sumber – Kosmo! Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Artis Pun Ada Perjuangan Sendiri Yang Tidak Diketahui Ramai’ – Scha...

0
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Scha Alyahya berpandangan, masyarakat sering melihat kehidupan selebriti dari sudut luaran semata-mata tanpa menyedari pelbagai cabaran serta tekanan yang...

CATEGORIES