Klang: Penduduk yang terjejas susulan gangguan bekalan air ekoran henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA), semalam, berharap bekalan air pulih sepenuhnya dengan segera.
Ia berikutan ramai penduduk tidak sempat menadah bekalan air susulan notis singkat yang dikeluarkan semalam terutama bagi mereka yang berada di tempat kerja.
Penduduk Taman Sri Andalas, Yusri Ramli berkata, kawasan berkenaan antara ‘hotspot’ gangguan bekalan air jika berlaku henti tugas LRA.
Katanya, bekalan air di rumahnya terputus petang kelmarin, namun dia sempat menadah air selepas mendapat notis makluman berhubung gangguan bekalan terbabit.
“Kebetulan saya tidak bekerja semalam dan hari ini, jadi saya simpan dulu air selepas mendapat notis pemakluman.
“Saya mula mengambil air di Pusat Khidmat Setempat (PKS) Taman Rakyat, semalam untuk kegunaan anak ke sekolah hari ini.
“Ini adalah ’round’ kedua saya ambil air hari ini. Saya berharap bekalan air segera pulih sebab penat juga kena berulang-alik,” katanya ketika di temui di PKS Taman Rakyat, di sini, hari ini.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Nasrun Yazid berkata, dia terpaksa mengambil air beberapa kali untuk digunakan di rumah serta gerai burger miliknya.
“Ini sebenarnya (jam 10.30 pagi) sudah kali kelima saya ulang-alik ambil air kerana jam 4 petang nanti saya akan buka gerai burger.
“Sebenarnya sangat susah bila tiada air, tambahan pula saya ada dua anak yang bersekolah.
“Harap petang nanti air kembali ada macam biasa dan masalah ini tidak berpanjangan,” katanya.
Terdahulu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan gangguan bekalan air membabitkan jutaan pengguna di tujuh daerah di Selangor dan Kuala Lumpur kini pulih 14.3 peratus setakat jam 9 pagi tadi.
Air Selangor memaklumkan gangguan bekalan air dijangka selesai sepenuhnya selewat-lewatnya Jumaat ini.
Sumber : hmetro





