KUALA LUMPUR – Kekangan bajet menyebabkan pengarah juga aktor, Zul Huzaimy terpaksa mengetepikan rakan seperjuangan dalam kalangan pelakon senior daripada karya arahannya kerana enggan menawarkan bayaran tidak setimpal pengalaman mereka.
Zul atau nama sebenarnya Zul Huzaimy Marzuki, 48, berkata, dia lebih rela tidak memanggil penggiat seni otai andai pihak produksi tidak mampu menyediakan bayaran sewajarnya, berbanding meletakkan mereka pada kadar rendah.
“Kalau saya tahu bajet tidak cukup, saya tidak panggil kawan-kawan senior. Kalau watak itu memang memerlukan pelakon berusia dan berpengalaman, kita sendiri sudah tahu nilainya.
“Saya tak mahu meletakkan mereka pada harga yang sangat rendah. Kalau ada bajet, saya minta penerbit keluarkan duit lebih jika perlu,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem lakonannya, Bisikan Nafsu di TGV KLCC, semalam.
Malah, Zul juga pernah mengeluarkan wang sendiri demi mendapatkan pelakon yang diingininya bagi menjayakan naskhah drama Kenapa Aku Mencuri? yang menampilkan Datuk Eman Manan, Faizal Hussein dan Allahyarham Lan Zailan.
Katanya, ketika itu pihak produksi memaklumkan tidak mempunyai bajet mencukupi untuk mengambil Lan Zailan, menyebabkan dia mengambil keputusan menanggung kos tambahan berkenaan.
“Saya menang mahu Lan Zailan berlakon sebab watak itu ‘kena’ dengan beliau. Penerbit pula kata tak cukup duit, pengurus produksi pun jawab tiada bajet lebih.
“Kemudian Pak Din (pengurus produksi) beritahu, kalau saya mahu, saya kena tambah duit sendiri. Saya jawab, ‘Okey!’ Saya keluarkan duit sebab saya mahu Abang Lan Zailan,” ujarnya.
Zul yang berkecimpung dalam dunia seni bermula dengan teater sekitar tahun 1997 mengakui ada rakan seperjuangan yang berkecil hati apabila tidak ditawarkan watak.
Katanya, ramai tidak memahami keputusan berkenaan terpaksa diambil demi menjaga nilai serta maruah pelakon berkenaan.
“Saya pernah dipersoalkan kawan-kawan kenapa tidak panggil mereka berlakon. Saya jawab, saya tidak ada bajet.
“Kalau ada bajet, memang saya akan tawarkan peluang. Saya kalau boleh enggan mereka yang berpengalaman ini bekerja dengan bayaran terlalu rendah,” ulasnya.
Menurut Zul lagi, isu kadar bayaran pelakon bukan hal baru malah wajar diberi perhatian kerana setiap pelakon mempunyai tahap pengalaman dan nilai tersendiri.
“Satu hari nanti saya pun akan tua. Jadi, siapa yang mahu bantu seni ini, mungkin boleh fikirkan bagaimana hendak memperjuangkan perkara tersebut,” katanya.
Sementara itu, mengenai lakonannya sebagai bapa tiri dalam filem pertama terbitan syarikat milik pelakon, Azeva itu, Zul sudah bersedia andai karakter tersebut dibenci penonton.
“Bisikan Nafsu merupakan kisah benar yang terjadi dalam masyarakat tetapi ada dalam kalangan mangsa penganiayaan mendiamkan diri atas pelbagai faktor.
“Mungkin karakter saya akan dibenci iaitu sebagai bapa tiri juga penceramah terkenal yang menggunakan status bagi mengaburi sikap buruknya. Kisah ini bawa pengajaran, jadi saya sahut cabaran Hello Productions,” katanya.
Selain Zul, filem arahan Riza Baharudin yang bakal ditayangkan pada 1 Oktober ini turut dibintangi Azeva, Aniq Suhair, Aleza Shadan, Raja Azmi, Ezzaty Abdullah serta Ameng Spring.
Sumber – KOSMO! ONLINE





