WASHINGTON: Calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, tidak menerima sebarang amaran daripada sesiapa mengenai adanya masalah sebelum berlakunya tembakan yang mencederakan dirinya di Pennsylvania, minggu lalu.
Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu berkata, beliau juga mempersoalkan tindakan penembak terbabit yang boleh menaiki bahagian atas bangunan tanpa sesiapa melaporkan perbuatan itu kepada pihak penguasa.
“Tiada siapa yang memaklumkan adanya sebarang masalah…saya akan menunggu selama 15 minit jika ada yang meminta saya berbuat demikian atau mengambil langkah lain, namun ia tidak berlaku.
“Saya rasa ia adalah satu kesilapan… bagaimana seseorang boleh naik ke atas bangunan sehingga perbuatannya tidak dilaporkan,” katanya ketika ditemu bual Fox News.
13 Julai lalu, Trump, ketika menghadiri perhimpunan kempen pemilihan Presiden AS, menjadi sasaran cubaan bunuh tetapi peluru yang ditembak hanya mencederakan telinga kanannya.
The Washington Post semalam melaporkan pegawai tertinggi di Perkhidmatan Rahsia AS beberapa kali menolak permohonan pasukan keselamatan Trump yang mahukan lebih banyak anggota bersenjata pada acara berkenaan.
Menurut laporan itu, yang memetik sumber, agensi terbabit yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan Trump, bagaimanapun ia menafikan permintaan berkenaan dan mengakui kekurangan sumber ada kalanya memang berlaku.
Jurucakap Perkhidmatan Rahsia, Anthony Guglielmi, sebelum ini menafikan tuduhan bahawa agensi itu menolak permintaan pasukan Trump untuk menyediakan lebih ramai anggota.
Guglielmi berkata, agensi itu akan membuat penyelarasan bagi memastikan keselamatan pihak yang dilindungi jika sumber khusus Perkhidmatan Rahsia tertentu tidak disediakan.
“Ia mungkin termasuk menggunakan anggota rakan kongsi di negeri untuk menyediakan fungsi khusus atau sebaliknya mengenal pasti alternatif bagi mengurangkan risiko terhadap pihak yang dilindungi,” katanya dalam kenyataan secara e-mel.
Pengarah Perkhidmatan Rahsia, Kimberly Cheatle, akan memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Pemantauan Dewan Perwakilan AS, esok untuk perbicaraan berkaitan kes tembakan itu. – REUTERS
Sumber : Berita Harian





