KUALA LUMPUR: Meskipun lebih setahun ibunya yang juga penyanyi, Allahyarham Rohana Jalil meninggal dunia, pelakon dan penyanyi Kilafairy, 30, masih belum mampu mengendalikan trauma kehilangan dengan baik.
Kilafairy atau nama sebenarnya, Syakila Nisa Jahangir Khan berkata, dia terpaksa menolak tawaran berlakon drama bersiri yang memerlukannya menjalani penggambaran di hospital dalam jangka masa panjang.
“Dari segi lakonan, saya tak mula apa-apa lagi sebab tawaran terakhir diterima 90 peratus penggambaran di hospital.
“Saya belum bersedia sebab saya menjaga arwah mama selama tiga bulan di hospital. Saya hanya mahu elakkan perasaan sedih datang balik.
“Saya tanya pasukan produksi, lokasi ‘shooting’ di mana dan mereka beritahu di hospital. Banyak sangat babak di hospital, kalau setakat lima atau enam babak rasanya tiada masalah.
“Kalau penggambaran setiap hari di hospital, saya masih tak boleh. Disebabkan itulah, saya masih menunggu tawaran lain yang sesuai.
“Saya rasa perasaan ini akan ada selama-selamanya, cuma saya kuat atau tidak,” katanya yang ditemui ketika memberi sokongan majlis pembukaan Nunha Store di MyTown, di sini, baru-baru ini.

Kilafairy berkata, dia bukanlah berniat menolak tawaran, sebaliknya masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kehilangan arwah ibunya.
“Kalau nak buat ‘scene’ ibu meninggal dunia, saya tidak kisah sebab perasaan saya ketika menjayakan babak ini mungkin nampak natural. Lokasi hospital susah sikit.
“Saya tidaklah meletakkan banyak syarat sebab saya percaya produksi yang memberikan tawaran pada faham dan boleh bertolak ansur.
“Tak tahu kenapa tawaran menjayakan drama di hospital diberikan kepada saya agak banyak babak. Sebelum ini, saya boleh sahaja buat tapi disebabkan pemergian arwah masih segar dalam ingatan, itu yang tak mampu saya buat.
“Ini pun kali pertama saya tolak tawaran menjayakan drama 90 peratus ‘shoot’ di hospital,” katanya yang juga akan tampil dengan perniagaan yang dikatakan berkaitan ibunya.
Terdahulu, Allahyarham Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abdul Jalil menghembuskan nafas terakhir pada 20 Jun tahun lalu akibat kebocoran pada usus perut.
Sumber : Berita Harian





