Ais di Gunung Everest Mencair, Mayat Pendaki Hilang Ditemui Semula

0
919

KATHMANDU: Peningkatan suhu dunia menyebabkan ais di gunung tertinggi dunia, Everest mula mencair sekali gus menampakkan mayat pendaki yang sebelum ini tertimbus, menurut seorang mejar tentera, Aditya Karki.

Beliau yang mengetuai pasukan 12 anggota tentera bersama 18 pendaki itu melakukan kempen pembersihan gunung Nepal di Everest dan puncak bersebelahan Lhotse dan Nuptse.

Sejak lapan musim lalu, seramai 300 pendaki terkorban di gunung berkenaan ketika melakukan ekspedisi yang bermula sejak tahun 1920an.

Menurut Karki, setakat ini pasukannya berjaya menemui lima mayat, termasuk satu daripadanya yang hanya tinggal rangka untuk dibawa turun.

“Sudah tentu operasi yang dijalankan ini bukannya satu tugas yang mudah dan berbahaya kepada pasukan penyelamat.

“Paling mencabar adalah membawa turun mayat dari ketinggian 8,700 meter berhampiran puncak,” katanya.

Oleh sebab cuaca terlampau sejuk, mayat pendaki yang maut ketika cuba mencapai ke puncak gunung setinggi 8,848 meter itu masih dalam keadaan baik dan ada antaranya sudah beberapa dekad terkubur di sana.

Difahamkan, anggota pasukan penyelamat mengambil tempoh berjam-jam untuk memecahkan ais menggunakan kapak dan ada juga daripada mereka menggunakan air mendidih bagi mencairkan ais yang sudah beku.

Masih banyak mayat bergelimpangan di lereng bukit berkenaan dan ada yang ditimbus oleh salji atau berada di celahan batu gunung.

Keadaan mayat amat menyedihkan dan ada di antara mereka masih lagi bersama peralatan yang berwarna- warni yang digunakan untuk menakluki gunung itu.

Ada pendaki mempercayai pergerakan glasier Khumbu antara punca mayat berkenaan timbul dan kos membawa turun mayat dari Gunung Everest di antara 30,000 pound (RM159,760) hingga 61,000 pound (RM324,840).

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here