Penyampaian insentif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) kepada 94 pelajar kategori institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan universiti luar negara menggembirakan golongan itu yang mendapat manfaatnya.
Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jengka, Pahang, Muhammad Hazim Anuar, 21, berkata pemberian itu nyata meringankan beban khususnya dari segi yuran dan barangan keperluan.

“Saya berterima kasih kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan YLTAT di atas sumbangan ini yang membantu dalam proses pembelajaran.
“Sekarang saya berada di semester kedua. Selepas tamat pengajian, saya bercadang untuk menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kerana mahu membalas budi dan jasa pihak yang banyak membantu selama ini,” katanya yang mengambil bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dan Rekreasi.
Anak ketiga dari tujuh beradik itu ditemui selepas majlis penyampaian yang disempurnakan Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin di Auditorium Wisma Pertahanan, di ibu negara, hari ni.
Bagi Muhammad Aiman Andy Hakim, 21, pemberian itu tidak disangka berikutan kos sara hidup pada masa kini semakin meningkat.

“Dengan pemberian ini, boleh ringankan kos makan dan minum di universiti. Kalau tidak saya setiap bulan akan minta perbelanjaan dengan ibu bapa.
“Jangan dilihat pada nilainya tetapi bagaimana cara kita menguruskan kewangan,” katanya yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Teknologi Persekitaran Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.
Anak sulung dari empat beradik itu juga bercita-cita mahu menjadi pemimpin dalam keluarga dan masyarakat pada masa akan datang.
Sementara itu, bagi pasangan suami isteri, Mejar Azizan Marzuki, 47 dan Idayu Hasim, 45, mereka bersyukur bantuan itu diberikan buat anak lelaki, Muhammad Amirul Hayat Azizan, 19, yang kini melanjutkan pelajaran di Universiti Mu’tah, Jordan.

“Kami berterima kasih kepada MINDEF dan YLTAT memberi sumbangan di mana anak kami perlukan alatan pembelajaran seperti kitab.
“Disebabkan dia mengambil bidang Syariah, jadi pengalaman itu menjadi luas dan belajar lebih tinggi. Walaupun kami sering berpindah-randah disebabkan tugas suami namun itu tidak menghalangnya untuk terus cemerlang,” katanya yang tinggal di Sungai Petani, Kedah.
Manakala Mejar Mohamad Mohamad Noor, 46, pula, beliau berbesar hati bantuan itu membantu anak perempuannya, Seri Farzana, 20, yang menyambung pelajaran di luar negara.

“Dia mengambil Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di Universiti De Lorraine, Nancy- Brabois, Perancis. Kebetulan negara itu menggunakan mata wang Euro dan kos sara hidup sangat tinggi.
“Anak sangat gembira apabila menerima insentif itu. Begitu juga saya dan isteri. Terima kasih tidak terhingga kepada MINDEF dan YLTAT di atas bantuan ini,” katanya.
-tamat-





