PETALING JAYA – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada petang semalam digemparkan dengan kejadian seorang penumpang yang selamat bersalin sementara menunggu penerbangannya.
Momen berkenaan telah dikongsikan oleh Malaysia Airports di laman X menerusi ciapannya memaparkan situasi cemas beberapa petugas keselamatan penerbangan (AVSEC) ketika membantu wanita tersebut.
“Dengan kadar segera, pasukan AVSEC membantu wanita terbabit dan memanggil pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan (KKM) dan Medilife Paramedic untuk rawatan dan pemeriksaan selanjutnya,” katanya.
Difahamkan, ibu dan anak tersebut kemudian telah dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan dan pemantauan rapi.
“Syabas kepada AVSEC, Terminal Services Department, KKM, Medilife Paramedic dan lain-lain atas tindakan pantas dan efisien,” tambahnya.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati rata-rata berseloroh mengenai tempat kelahiran bayi ini untuk didaftarkan di dalam sijil kelahiran.
“Dalam surat beranak nanti tulis kelahiran di lapangan terbang,” tulis @nonerinorine.
“Dapat percuma tempat letak kereta di KLIA seumur hidup ke?” kata Syarol Kyle.
“Nanti dah besar datang semula KLIA ni, boleh belagak dengan pasangan cakap ‘inilah tempat lahir saya’,” ujar seorang @Hfzhr_.
Sumber: Kosmo





