Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, saya bersyukur kerana selamat pulang ke tanah air. Namun, separuh jiwa masih di sana (Gaza, Palestin). Biarpun dapat keluar, tapi saya sedih sebab terpaksa tinggalkan saudara kita di sana. Tidak tahu sampai bila mereka akan selamat.”
Demikian kata Konsultan Perubatan Kecemasan dan Pakar Perubatan Bencana Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Mohd Syafwan Adnan yang selamat tiba di tanah air pada 27 Mei lalu.
Dr Syafwan, 40, antara enam rakyat Malaysia membabitkan lima doktor pakar dan seorang kakitangan logistik yang terkandas di Hospital Pakar Kuwait di Rafah, selepas memasuki zon peperangan antara Palestin dan Israel di Semenanjung Gaza sejak 1 Mei lalu.
Menurutnya, dia bersama Doktor Trauma dan Bedah Mercy Malaysia Dr Ashok Kannan mula dibawa keluar dari Rafah pada 23 Mei lalu melalui lintasan Kerem Shalom sebelum memasuki Jordan.
Kata beliau, mereka dibawa menaiki kenderaan kalis peluru oleh Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) secara berkonvoi dengan menempuh jarak perjalanan 20 kilometer (km) dalam tempoh tiga jam.
“Kami tidak balik serentak, sebaliknya dipecahkan secara berkumpulan. Saya dan Dr Ashok adalah ‘trip’ pertama membabitkan pasukan perubatan Malaysia.
“Empat yang lain secara berperingkat. Tak mudah nak keluar dari sana. Kami dibawa menaiki kenderaan kalis peluru sebab berada di zon perang. Bayangkan, di tengah-tengah Israel membuat serangan, kami dibawa keluar.
“Kami tidak dibawa keluar melalui sempadan Mesir. Mengikut prosedur, kami perlu melalui Baitulmaqdis dan masuk ke Israel sebelum dikeluarkan melalui Kerem Shalom.
“Jarak dari Rafah ke lintasan hanya 20km, tapi ambil masa tiga jam sebab melalui kawasan perang. Tayar kenderaan dua kali pancit. Kami juga melalui kawasan operasi Hamas, trak yang ditahan, selain berdepan detik Israel dan Hamas saling berbalas serangan.
“Kalau difikir memang tak selamat. Kami hanya tunduk selain ketakutan. Cuma, ada sedikit keyakinan sebab kenderaan kalis peluru malah kenderaan pengiring lain turut membabitkan pegawai UN yang berpengalaman luas.
“Mereka cekap dalam membuat keputusan pada saat-saat genting. Ketika konvoi itu, kami dilantik sebagai pasukan trauma jika terjadi apa-apa ketika dalam perjalanan,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, perjalanan keluar dari Rafah ibarat menyerah diri ketika kawasan Hospital Pakar Kuwait dibom tentera Israel.
“Sebelum itu, kami mendapat amaran yang mana tentera Israel mahu mengebom hospital. Setibanya pasukan UN, mereka tanya mana pasukan perubatan dari Malaysia. Kami diarahkan untuk segera bersiap. Ketika itu jugalah kawasan hospital dibom pada jarak kira-kira 50 meter.
“Lima minit kemudian, kami terus bergerak dan dibawa ke Pusat Gerakan Kemanusiaan Bersama atau ‘Joint Humanitarian Operation Center’ (JHOC) yang menempatkan pasukan UN. Dari situ, kami dipindahkan ke Hospital Bulan Sabit Merah Palestin. Keesokan hari barulah bergerak keluar.
“Sampai saja di lintasan, kami terus menaiki bas ke Jordan. Sampai di sana, kami disambut oleh Duta Malaysia di Jordan dan Mercy Malaysia sebelum berlepas pulang ke tanah air pada 26 Mei,” katanya.
Berkongsi pengalaman bertugas di sana, Dr Syafwan berkata, setiap hari dia menyaksikan penderitaan penduduk Palestin yang menjadi mangsa serangan.
Malah, dia juga sudah bersedia dengan apa juga kemungkinan yang berlaku memandangkan berada di zon perang.
“Di Hospital Pakar Kuwait, saya berada di zon merah. Bom setiap hari ada. Kalau Israel mulakan serangan jam 10 malam berlarutan sampai jam 6 pagi. Kalau mengebom jam 4 pagi sampai tengah hari baru berhenti.
“Dari hari ke hari, serangan bom semakin hampir. Sampai saya cakap pada kawan, kalau saya kena bom biarlah mati terus. Saya tidak mahu patah kaki, tangan dan sebagainya.
“Di Rafah, sentiasa ada dron di udara yang boleh tembak dan mengebom. Kalau jet pejuang datang bermaksud memang akan ada serangan bom besar. Kebanyakan mangsa dron, ada kanak-kanak yang terbakar (melecur) sehingga 90 peratus, memang meninggal dunia.
“Ada mangsa yang putus kaki, ada yang tinggal kepala saja, badan hancur, hilang mata, kaki dan tangan putus. Lebih menyedihkan apabila mangsa adalah kanak-kanak.
“Memang ada perasaan nak balik dan gembira dapat keluar dari kawasan peperangan. Tetapi, nasib penduduk di sana memang tidak ada harapan. Mereka selalu tanya, apa saja yang tinggal untuk mereka.
“Mereka nak teruskan hidup, tapi tidak ada jalan keluar. Jadi, mereka hanya berserah kepada Allah SWT. Cuma, mulut mereka tak berhenti mengucapkan Alhamdulillah,” katanya.
Sumber: Harian Metro





