BANGKOK: Sebuah jalan utama runtuh di hadapan Hospital Vajira, daerah Dusit di Bangkok, Thailand pagi tadi selepas sebuah lubang benam berukuran kira-kira 900 meter persegi dengan kedalaman lebih 50 meter terbentuk.
Lubang benam itu dikesan semakin membesar dan menjejaskan kawasan hadapan hospital dan balai polis Sam Sen berhampiran.
Pada jam 7.24 pagi, pihak berkuasa mula mengosongkan pesakit dan orang awam dari zon berisiko. Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan.

Menurut Pusat Radio Rama 199, pegawai sedang menilai keadaan secara berterusan dan merangka langkah pencegahan lanjut.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, bersama timbalannya, Prof Madya Wisanu Subsompon, Pengarah Daerah Dusit, Ketua Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana, wakil Hospital Vajira serta agensi berkaitan meninjau lokasi runtuhan jalan yang serius di Jalan Samsen, depan Hospital Vajira.
Pegawai dari balai polis Sam Sen, Pihak Berkuasa Air Bandaraya, Pihak Berkuasa Elektrik Metropolitan (cawangan Sam Sen), dan kontraktor projek MRT Laluan Ungu turut hadir bagi menilai keadaan, memberi bantuan serta melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera.

Laluan trafik ditutup dari persimpangan Vajira hingga ke persimpangan Sanghi serta kawasan sekitar berikutan mendapan yang menjejaskan utiliti awam dan mengundang risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.
Kejadian berlaku berhampiran tapak pembinaan Stesen Vajira bagi laluan MRT baharu, betul-betul di hadapan hospital.
Pemeriksaan awal mendapati ia berpunca daripada mendapan jalan berskala besar yang membentuk kawah berukuran kira-kira 900 meter persegi dengan kedalaman 50 meter.
Sumber – AGENSI





