Thursday, May 14, 2026
HomeSUKANKylian Mbappe Pacu Kemenangan Real Madrid Di Real Oviedo

Kylian Mbappe Pacu Kemenangan Real Madrid Di Real Oviedo

OVIEDO, Sepanyol: Kylian Mbappe sekali lagi muncul wira Real Madrid apabila meledak dua gol untuk membantu pasukannya menewaskan Real Oviedo 3-0 pada aksi La Liga awal pagi tadi.

Bagi Oviedo, yang kembali ke saingan utama Sepanyol selepas hampir suku abad, kedatangan juara Eropah 15 kali itu menjadi satu pesta bola sepak, dengan sorakan padu penyokong Asturia memenuhi stadium.

Dua bintang utama, Mbappe dan Vinicius Junior, menjadi pemisah di utara Sepanyol. Penyerang Perancis itu menyumbat dua gol sebelum Vinicius menambah jaringan ketiga pada masa kecederaan.

Jurulatih Xabi Alonso membuat beberapa perubahan ketara daripada kemenangan aksi pembukaan 1-0 ke atas Osasuna, apabila merehatkan Vinicius dan Trent Alexander-Arnold, digantikan Rodrygo Goes serta kapten kelab Dani Carvajal yang kembali daripada kecederaan.

Namun Vinicius yang dimasukkan sebagai pemain gantian bangkit dengan penuh bergaya apabila menghasilkan satu umpanan gol selain meledak satu gol.

Bintang muda Argentina, Franco Mastantuono turut membuat penampilan sulung dalam kesebelasan utama.

Pemain berusia 18 tahun itu sempat mempamerkan kehebatan gelecekan pantasnya seawal babak pertama, namun rebah dalam kotak penalti dengan pengadil tidak melayan rayuannya.

Madrid hampir memecah kebuntuan apabila rembatan Arda Guler dalam kotak penalti berjaya diselamatkan dengan cemerlang oleh penjaga gol Oviedo, Aaron Escandell.

Akhirnya pada minit ke-37, Guler melorongkan bola kepada Mbappe yang menyambutnya dengan kawalan kemas sebelum melepaskan rembatan deras menewaskan Escandell untuk gol pembukaan.

Selepas sejam permainan, Rodrygo dan Mastantuono digantikan dengan Vinicius serta Brahim Diaz.

Diaz hampir mencipta gol pantas apabila hantarannya tepat menemui Fede Valverde dalam kotak penalti, tetapi Escandell sekali lagi menyelamatkan percubaan dengan hujung jarinya.

Detik mendebarkan hadir pada minit ke-81 apabila Kwasi Sibo hampir mencetuskan kegembiraan tuan rumah, namun rembatan kencangnya singgah di tiang dengan Thibaut Courtois sudah tertewas.

Amaran itu menyedarkan Madrid. Dua minit kemudian, Vinicius merampas bola dan memecut ke arah kotak penalti sebelum melorongkan bola kepada Mbappe yang tenang menyudahkan peluang bagi gol kedua.

Bintang Brazil itu kemudian melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada minit ke-93, selepas menerima hantaran Brahim Diaz sebelum menyempurnakannya dengan tenang.

Sumber – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Kasihan, Orang Tak Tahu Kak Jee Ada Asma Yang Teruk’ –...

0
PETALING JAYA – “Orang tak tahu dia ada asma yang teruk. Tapi saya tak tahu kenapa Kak Jee tidak pernah cakap benda ini.” Demikian perkongsian...

CATEGORIES